Sukarelawan PMS UPSI bersama murid-murid SK Jernang (K9), Sungkai, Perak
Sungkai, 14 Mei 2025 – Sekolah Kebangsaan Jernang (K9) yang semua muridnya Orang Asli beretnik Semai telah menjadi lokasi pilihan Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menganjurkan sebuah program iaitu InspiraSTEM Madani: Jalinan Ilmu dan Inspirasi Komuniti Orang Asli yang berfokus kepada pemindahan ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Program yang melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada seorang pensyarah, 29 orang ahli PMS bersama 101 orang murid SK Jernang (K9) ini telah mendapat sokongan daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan FSM dalam merealisasikan usaha merakyatkan sains selari dengan dasar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ini.


Frasa “JERJAR” yang membawa maksud “berlari (“Jar” dalam Bahasa Semai) ke arah kecemerlangan” diguna pakai oleh warga sekolah tersebut dalam mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang sekalipun termasuklah dalam bidang akademik dan STEM ini. Maka, penganjuran program ini adalah bertepatan dengan dasar dan hasrat sekolah ini.
Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif telah dijalankan termasuklah sesi Energizer, pH Painting, Marangoni Effect Leaf, Mini Terrarium dan Letusan Gunung Berapi. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti ini mendedahkan murid-murid kepada keseronokan mempelajari Sains melalui eksperimen dan aktiviti hands-on sekali gus menimbulkan semangat inkuiri mereka seiring dengan objektif program ini iaitu untuk meningkatkan pemahaman murid secara langsung.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid yang terlibat. Ini dilihat melalui keterujaan mereka yang terpancar apabila mereka diberikan peluang untuk melakukan eksperimen-eksperimen tersebut dengan bantuan-bantuan sukarelawan yang juga merupakan fasilitator bagi program ini. Peluang ini bukan sahaja memberikan keseronokan kepada mereka bahkan memberikan mereka ruang dan peluang untuk mempelajari konsep Sains di luar bilik darjah dan tidak bergantung kepada buku teks semata-mata.
Program ini juga telah dihadiri oleh ChM. Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid, Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, FSM, UPSI merangkap penasihat PMS, Jamri Jelani, Guru Besar SK Jernang (K9) dan barisan pentadbir serta guru-guru sekolah berkenaan. Menurut Dr. Siti Nur Akmar, “Program seperti ini memenuhi keperluan semasa yang memberikan pendedahan secara langsung kepada aktiviti berasaskan STEM yang akan membuka minda murid kepada potensi dan peluang dalam bidang ini, terutamanya melalui interaksi dengan mahasiswa yang lebih dekat dengan dunia universiti dan kerjaya. Usaha ini juga sangat bertepatan dengan aspirasi pendidikan negara dalam melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Seiring dengan hasrat itu, Guru Besar SK Jernang (K9), Jamri Jelani juga menzahirkan pandangan beliau bahawasanya, program seperti ini adalah amat sesuai untuk dijalankan kepada anak-anak SK Jernang kerana ia seiring dengan hasrat sekolah iaitu “JERJAR” untuk mencapai kebitaraan sekolah.

Bukan itu sahaja, PMS juga mengambil peluang ini untuk menyantuni komuniti Orang Asli yang terletak berdekatan sekolah ini. Sumbangan berbentuk makanan dan bahan keperluan harian seperti beras, tepung gandum, gula dan sebagainya yang merupakan hasil kutipan derma orang awam dan warga UPSI turut diagihkan kepada 20 buah rumah daripada lima buah kampung berbeza yang terletak di RPS Jernang ini. Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sat, Kampung Ras, Kampung Tidong, Kampung Gamus dan Kampung Kejau.
Sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat meringankan beban masyarakat setempat sekali gus mendekatkan diri para sukarelawan ini dengan komuniti Orang Asli. “Peluang bermakna ini bukan sahaja memberikan saya ruang untuk berinteraksi dengan komuniti malah saya dapat memahami sendiri cara hidup etnik Semai melalui pengalaman nyata ini,” ujar Lim Zhi Shi, salah seorang sukarelawan daripada program ISMP Kimia semester empat.


PMS dan SK Jernang (K9) menzahirkan penghargaan kepada satu sama lain dan berharap agar program jalinan ilmu dan kebajikan seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Jalinan kerjasama antara universiti dan komuniti ini sememangnya harus diteruskan supaya mahasiswa-mahasiswi ini dapat berinteraksi dan menyumbang secara langsung kepada komuniti. Bagi mahasiswa UPSI yang bakal bergelar guru pula, peluang seperti inilah yang mampu memberikan mereka suasana sebenar tentang kehidupan masyarakat dan cara yang boleh mereka taakulkan untuk menjadi guru terbaik untuk murid-murid mereka yang berbeza latar belakang.
Pihak PMS UPSI merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), UCTC, FSM, pihak pentadbiran SK Jernang (K9), dan para sukarelawan siswa. Diharapkan kerjasama seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk memberi impak yang lebih besar kepada komuniti Orang Asli di Malaysia. Dengan sokongan pelbagai pihak terutamanya pihak universiti, serta kerjasama padu daripada semua yang terlibat, program ini diharapkan dapat menjadi wadah penyemaian minat murid Orang Asli dalam menyertai bidang STEM sekali gus menyahut dasar MADANI dan berbakti semula kepada komuniti.
