Peserta Youth Conservation Trainee Programme (YCTP) 2025

Oleh: Cik Afifah Adriana Aznan

Tanjung Malim, 16 Mei 2025 – Dalam usaha memupuk generasi muda yang berwibawa dan berpengetahuan dalam pemeliharaan alam sekitar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC) telah melaksanakan Youth Conservation Trainee Programme (YCTP) 2025.

‘Youth Conservation Trainee Programme’ merupakan satu inisiatif yang diajalankan oleh Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) yang menyediakan latihan dan peluang pekerjaan bagi golongan muda yang berminat dalam bidang alam sekitar dan pemuliharaan tetapi kurang latar belakang dan pengalaman yang diperlukan.

YCTP adalah satu program yang komprehensif meliputi pendidikan dan latihan, yang diajar oleh beberapa orang pakar dari bidang alam sekitar dan pemuliharaan.

Taklimat sebelum menjalankan aktiviti
Peserta sedang menjalankan aktiviti di UPSI Edu-Forest

Program ini terdiri daripada sesi pembelajaran teori, lawatan lapangan dan latihan praktikal yang merangkumi topik seperti pemuliharaan biodiversiti, pengurusan ekosistem, dasar alam sekitar dan pembangunan lestari.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, “Kelas Botani Hutan” Youth Conservation Trainee Programme 2025 ini telah dilaksanakan di UPSI Edu-Forest, Sg. Dara, Behrang selama empat hari dan terdiri daripada 24 orang peserta dengan tujuan utama adalah untuk memberi pendidikan dan pendedahan kepada peserta tentang pokok hutan dan kepelbagaian biologi di Malaysia.

“Antara aktiviti yang dilaksnakan melalui program ini adalah pengenalan pokok hutan bukan dipterokarp dan pokok dipterokarp oleh pakar pokok dan ahli ekologi TRCRC, pengenalan lapisan hutan di Malaysia, latihan praktikal dalam penjenamaan pokok, pengukuran dan pengumpulan data pokok, pengumpulan sampel fotografi untuk pemuliharaan pokok dan penjenamaan pokok dipterokarp, pokok buah liar dan penamaan spesies pokok klimaks lain”.

Peserta sedang menjalankan aktiviti di UPSI Edu-Forest
Peserta sedang menjalankan aktiviti di UPSI Edu-Forest
Peserta sedang menjalankan aktiviti di UPSI Edu-Forest

“Program ini berfungsi sebagai inkubator pemimpin hijau yang mampu mencetuskan gerakan akar umbi dalam pemuliharaan biodiversiti negara yang bukan sahaja memperkasa belia dengan ilmu dan kemahiran alam sekitar, tetapi turut memupuk semangat cinta akan alam dan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Dengan kolaborasi antara UPSI dan TRCRC, masa depan konservasi Malaysia dilihat lebih cerah dengan kehadiran pemimpin muda yang berwibawa dan berintegriti”.