Oleh: Afifah Adriana Aznan
Pontianak, Indonesia, 22 Mei – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) bersama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan program pemberian sumbangan kepada masjid dan pondok di Pontianak, Indonesia melalui Program Akademik Fakulti Sains dan Matematik, UPSI di Kalimantan Barat Indonesia.
Dengan wujudnya kepedulian sosial dan semangat berkongsi, Program Corporate Social Responsibility (CSR) ini telah berjaya dijalankan di dua lokasi iaitu Masjid Iltizam dan Pondok Pasentran Darul Ulam Asy-Syafi’iyyah, Pontianak, Indonesia.
Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, Pengarah UCTC berkata UPSI telah menyerahkan sumbangan karpet sembahyang kepada Masjid Iltizam atau dikenali sebagai Masjid Mualaf dan naskhah al-Quran wakaf dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk kegunaan para jemaah dalam beribadah.

FSM kepada Masjid Iltizam, Pontianak, Indonesia
“Di lokasi yang berlainan, pihak UCTC turut menghulurkan bantuan makanan kering seperti beras, tepung, kicap, teh kepada Pondok Pasentran Darul Ulam Asy-Syafi’iyyah” ujarnya lagi.
Menurut Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Dekan FSM, program ini adalah manifestasi semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam membantu komuniti yang memerlukan, terutamanya dalam sektor pendidikan dan keagamaan.
“Kami percaya bahawa pembangunan rohani dan pendidikan harus bergerak seiring. Melalui sumbangan ini, kami berharap dapat menyumbang kepada kelestarian institusi keagamaan di peringkat akar umbi”.


“Dengan menyemai berkah, kami berharap langkah kecil ini membawa dampak besar bagi penerima manfaat untuk kegunaan harian para pelajar dan meningkatkan kekhusyukan dalam beribadah”.

