Oleh: Nur Asyiqin Binti Mohd Emran
Tanjong Malim, 2 Mac 2025 – Bersempena dengan bulan Ramadan yang disambut oleh seluruh Muslim, Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) dan Persatuan Pendidikan Islam (PPI) UPSI telah menganjurkan program tadarus Al-quran iaitu Malam Restu Ilahi (MARI 3.0) : Himpunan Nur Al-Quran yang dianjurkan secara dalam talian menerusi Google Meet dan siaran langsung di Facebook Live Persatuan Mahasiswa Sains.
Program ini telah berlangsung selama 17 hari bermula pada 2 Mac 2025 sehingga 18 Mac 2025 yang disertai oleh 291 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris.



Program tadarus Al-quran ini dilaksanakan setiap hari dengan dipimpin oleh pelajar daripada Persatuan Tahfiz & Qiraat (PTQ) dan Persatuan Pendidikan Islam (PPI) .
Seramai sepuluh (10) orang naqib dan lima (5) orang naqibah telah diberi amanah untuk mengetuai bacaan al-quran. Setiap hari, dua juzuk Al-Quran dibaca bagi memastikan khatam Al-Quran dapat disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada hari Jumaat, program ini turut menampilkan Muslimat Day di mana sesi tadarus hanya melibatkan peserta wanita dan naqibah sahaja untuk memberi laluan kepada peserta lelaki menunaikan solat Jumaat. Bagi meningkatkan pengalaman rohani, sesi tadabbur diadakan sebaik sahaja tamat bacaan Al-Quran.



Sesi ini bertujuan untuk mendalami makna ayat-ayat suci dan perkongsian kisah-kisah penuh hikmah yang bakal menjadi pedoman kepada para peserta.
Sepanjang program ini berlangsung, peserta dapat menghayati bulan Ramadan dengan lebih bermakna melalui bacaan Al-Quran sekaligus melengkapkan ibadah puasa mereka dengan bacaan ayat-ayat suci secara mendalam.
Bersempena dengan Nuzul Al-quran pada 18 Mac 2025, Majlis Khatam Al-quran telah diadakan bagi melengkapkan bacaan 30 juzuk Al-Quran untuk mengingati hari Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril di Kota Mekah.
Majlis ini turut dihadiri oleh ChM.Dr. Siti Nur Akmar, Penasihat Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) yang merasmikan majlis penutup program Malam Restu Ilahi (MARI 3.0) : Himpunan Nur Al-Quran. Menurut ChM.Dr. Siti Nur Akmar, “Majlis bacaan ini amat memberi kesan kepada seluruh pelajar untuk lebih menghayati kesucian dan kelebihan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca”.
Beliau turut menegaskan bahawa “Al-quran seharusnya menjadi pegangan utama khususnya dalam kalangan pelajar yang beragama Islam”.
Setelah program Malam Restu Ilahi (MARI 3.0) : Himpunan Nur Al-quran dilaksanakan, ia telah berjaya menarik minat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk turut serta dalam bacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan.
Program ini bukan sahaja sekadar membaca ayat-ayat suci Al-Quran tetapi juga membiasakan lafaznya dalam kehidupan seharian bagi menguatkan keimanan dan diamalkan sebagai amalan harian.
Sokongan daripada pelbagai pihak telah membantu menjayakan program ini untuk terus berlangsung sehingga ke penghujungnya. Program ini diharapkan dapat menjadi sebagai platform mahasiswa untuk mendekatkan diri dengan lebih dekat terhadap Al-Quran serta mengangkat sebagai kalam Tuhan yang mulia dalam kehidupan.
