Oleh : Nur Addini Alya Natasha Mohamad Hisham

Tanjong Malim, 20 Mei 2026 – Di tengah kesibukan dunia kampus, Al-Quran kekal menjadi rutin harian buat para mahasiswa. Atas kesedaran ini, Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAKK) dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Qiraat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Pertandingan Nadi Huffaz pada 20 Mei 2026.

Program ini dirangka khusu sebagai medium interaktif untuk mendekatkan semula mahasiswa dengan Al-Quran melalui aktiviti hafazan. Pertandingan ini bukan sekadar menguji ingatan dan ketajaman minda, malah pertandingan ini juga telah menjadi platform terbaik untuk membina keyakinan diri serta memupuk disiplin yang tinggi.

Melalui Pertandingan Nadi Huffaz, ukhuwah sesama mahasiswa turut dapat diperkukuh, dan kolaborasi ini telah mewujudkan hubungan kerjasama yang erat antara persatuan-persatuan di bawah Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain itu, ketenangan jiwa turut dicapai menerusi alunan suci kalam Allah. Usaha ini bukan sahaja mampu melahirkan penghafaz Al-Quran yang cemerlang, malah turut melahirkan barisan pemimpin ummah yang cemerlang demi masa hadapan.

Sepanjang pertandingan berlangsung, pelbagai jenis kreativiti dapat dilihat dari cara bacaan yang ditonjolkan, di mana setiap peserta membawa keunikan tersendiri dari segi alunan suara serta penghayatan ayat Al-Quran. Hal ini secara tidak langsung memberikan inspirasi kepada para penonton yang hadir untuk terus mencintai dan mendalami mukjizat Al-Quran.

Kesimpulannya, Pertandingan Nadi Huffaz ini bukan sekadar sebuah platform persaingan, malah ianya merupakan satu usaha murni dalam menyuburkan rasa cinta mahasiswa terhadap Al-Quran. Melalui komitmen yang padu daripada pihak PPAKK dan Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), program ini berjaya membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan kekuatan rohani mampu berjalan seiring. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dalam kalangan warga kampus UPSI.