Oleh: Nurul Nadia Ibrahim dan Clarita Meri Anak Gajan

Tanjong Malim, 02 Mei 2025 – Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mencipta kelainan dalam dunia seni kampus apabila menganjurkan PESTARI 1.0, sebuah pertandingan tarian tradisional yang bukan sekadar memukau dari segi persembahan, tetapi turut mengetengahkan nilai moral, warisan budaya dan pemikiran reflektif mahasiswa.

Program yang berlangsung pada 30 April lalu telah mencuri perhatian ramai kerana pendekatannya yang unik iaitu menggabungkan elemen tarian pelbagai kaum dengan sesi soal jawab yang menilai kefahaman dan nilai yang diterapkan dalam setiap persembahan. Pendekatan ini membuktikan bahawa seni tradisional mampu menjadi medium yang efektif dalam memupuk nilai moral, memperkasa identiti budaya dan menyuburkan rasa hormat terhadap warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Penasihat PERMOR, Nurul Nadia Ibrahim menegaskan bahawa PESTARI bukan sekadar medan hiburan semata tetapi satu ruang pendidikan nilai murni melalui seni. “Pestari bukan sekadar pertandingan tarian, tetapi juga kami mahu mahasiswa yang hadir dapat memahami dan menghayati nilai yang tersembunyi di sebalik setiap gerak tari. Setiap gerak tari bukan sekadar langkah seni, tetapi juga cerminan nilai seperti kerjasama, hormat-menghormati dan tanggungjawab,” ujarnya.

Tarian Bernilai: Antara Seni dan Kesedaran. Menjadikan PESTARI benar-benar istimewa ialah penyertaan sesi info dan soal jawab bersama para peserta selepas persembahan yang menjadi pentas refleksi iaitu menonjolkan pendapat dan pengetahuan mahasiswa mengenai makna sebenar tarian tradisional seperti dari aspek asal-usul dan mesej nilai dalam tarian yang dipersembahkan. Ini menjadikan PESTARI lebih daripada sekadar pertandingan bah kan sebuah kelas terbuka yang menyatukan seni dan moral. Pendekatan ini menjadikan program ini selaras dengan matlamat SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 11 (Komuniti dan Warisan Budaya yang Lestari) di mana pendidikan tidak hanya berlaku di dalam kelas tetapi juga melalui pentas seni yang mendidik hati dan minda.

Meriah dengan Kepelbagaian Budaya. Tarian pelbagai kaum seperti zapin, Ngajat, Sumazau, Bharatanatyam dan tarian dari etnik Cina menyerikan pentas PESTARI yang telah mencerminkan kekayaan budaya Malaysia yang harmoni. Ini sekaligus mengukuhkan lagi nilai perpaduan, toleransi dan penghormatan silang budaya dalam kalangan mahasiswa.

Bagi memastikan keadilan dan profesionalisme, barisan juri terdiri daripada mereka yang bergiat aktif dan berpengalaman luas dalam bidang seni tarian iaitu Marina Awang Ahmad, Joshua Gundi Anak Sirai dan Shawna Dempsey Sales Mereka bukan sahaja menilai dari segi koreografi dan persembahan tetapi turut mempertimbangkan sejauh mana nilai moral dan kefahaman budaya diterapkan dalam setiap persembahan.

Sokongan Padu dan Harapan Masa Depan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua PERMOR, Beron Justin; Wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Krestyelah Ubid; , Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej (KHAR), Iqqwan Jasman Su Azlan Su serta Setiausaha Majlis Mahasiswa Kolej (KHAR) Sudhani The Zhi Hui. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan kuat komuniti mahasiswa terhadap inisiatif yang memartabatkan warisan seni negara.

PERMOR turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah program, Grace Eyommos bersama barisan AJK PESTARI atas dedikasi dan kesungguhan mereka menjadikan edisi pertama PESTARI satu kejayaan gemilang. Penghargaan dan kerjasama turut melibatkan pihak KHAR atas sokongan padu dan kolaborasi erat yang memungkinkan kejayaan program ini.

Meneruskan Legasi Seni yang Mendidik. Dengan maklum balas yang sangat positif daripada peserta dan penonton, ramai berharap agar PESTARI 2.0 akan diteruskan dengan skala yang lebih besar dan impak yang lebih luas. Program seperti ini bukan sahaja melestarikan budaya malahan menjadi jambatan yang menyatukan mahasiswa pelbagai latar melalui nilai bersama yang terkandung dalam seni tradisional.

Dalam era globalisasi yang pesat, PESTARI membuktikan bahawa seni tradisional masih relevan bukan sekadar sebagai warisan tetapi sebagai alat pendidikan dan pemupukan jati diri nasional.