Oleh: Puan Bazliah Mahmud dan Mohd Ali Abdul Malek
Kedah, 8 Mei 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti UPSI (UCTC) telah berjaya menganjurkan Program CSR sempena penyerahan 200 naskhah al-Quran kepada Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang, Kedah Darul Aman. Sejumlah Al-Quran tersebut telah disumbangkan oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.



Program ini bertujuan untuk menyemai semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, selain memperkukuhkan hubungan dengan komuniti luar kampus.


Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan menekankan aspek pembangunan sahsiah, kerjasama berpasukan dan kepimpinan telah dilaksanakan oleh barisan fasilitator dalam kalangan mahasiswa UPSI khususnya kepada para pelajar Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah.



Antara aktiviti utama ialah sesi Quranic Talk diikuti dengan aktiviti Gallery Walk yang menggalakkan para pelajar berkongsi ilmu secara kreatif dan interaktif. Majlis penutup program telah disempurnakan dengan penyerahan naskhah Al-Quran oleh Pegawai Pusat Islam, Pn. Bazliah Binti Ahmad Mahmud kepada pihak sekolah yang diwakili oleh Ustazah Naelah Binti Syeikh Jamil selaku Timbalan Pengetua.



Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang berintegriti, prihatin dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan holistik dan seimbang
