Tanjong Malim, 07 Mei 2025 – Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Moral Talk: Antara Prinsip dan Realiti yang membuka ruang untuk membincangkan isu-isu moral secara terbuka dan reflektif. Seramai 425 orang individu telah menyertai program ini, sekali gus menyumbang kepada suasana yang lebih bermakna dan penuh keterujaan.

Program ini menyediakan ruang perbincangan yang lebih meluas dalam kalangan panel bersama pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dan mahasiswa UPSI, untuk mendalami bagaimana prinsip moral dapat dijadikan panduan dalam membuat keputusan serta menangani konflik moral yang sering timbul dalam pelbagai dimensi kehidupan, termasuk kerjaya, hubungan sosial dan tanggungjawab peribadi.

Program yang berlangsung pada 7 Mei yang lalu ini telah menarik perhatian ramai kerana program ini memberikan peluang kepada peserta untuk mendengar pendapat dan pandangan daripada pakar dalam bidang tertentu, dan program ini juga menyediakan platform untuk peserta meneroka cabaran dalam mengaplikasikan prinsip moral dalam konteks kehidupan sebenar serta memberikan pencerahan dan inspirasi kepada para peserta. Usaha ini selaras dengan matlamat PERMOR untuk membentuk generasi muda yang beretika, dan berdaya saing dalam menghadapi realiti semasa.

Program ini disertai oleh dua ahli panel jemputan iaitu Dr. Zuraini Jamil @ Osman dan Nurul Nadia Ibrahim. Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua panel atas kesudian meluangkan masa, berkongsi ilmu serta memberikan pandangan yang bernas sepanjang program berlangsung. Komitmen tinggi dan kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua panel amat dihargai dan telah memberikan impak yang besar terhadap kelancaran serta keberkesanan pelaksanaan program ini. Sumbangan pemikiran dan pengalaman mereka bukan sahaja memperkaya pengisian program, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada semua yang terlibat dalam program ini.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Pendidikan Moral, Beron Justin yang menegaskan bahawa MORAL TALK 5.0 : ANTARA PRINSIP DAN REALITI  bukan sekadar medan perbincangan tetapi “Membantu peserta memahami dan mengaplikasikan prinsip moral dalam membuat keputusan yang beretika serta menangani dilema moral dengan bijaksana dan bertanggungjawab serta memberi pendedahan kepada peserta menangani cabaran etika dalam dunia pekerjaan, pendidikan, dan kehidupan sosial” ujarnya.

Moral Talk: Antara prinsip dan realiti. Yangmenjadikan program ini benar-benar istimewa adalah program ini menampilkan sesi interaktif yang unik, di mana perbincangan mendalam bersama peserta dan sesi soal jawab.  Sesi ini berfungsi sebagai platform refleksi yang membolehkan peserta mengemukakan pandangan dan pengetahuan mereka tentang prinsip dan realiti dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini menjadikan program ini selaras dengan matlamat SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG17: Kerjasama Demi Matlamat.

PERMOR turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah program, Nor Humaira Binti Muhammed Aman Amir bersama barisan AJK MORAL TALK 5.0: ANTARA PRINSIP DAN REALITI atas dedikasi dan kesungguhan mereka.

Meneruskan Legasi Perbincangan yang Mendidik. Dengan maklum balas yang sangat positif daripada peserta dan penonton, ramai berharap agar MORAL TALK 6.0 akan diteruskan dengan skala yang lebih besar dan impak yang lebih luas. Program seperti ini bukan sahaja menyediakan ruang perbincangan malahan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap prinsip moral dan realiti dalam konteks semasa.