Oleh: Nazirul Haizri Ridzuaan

Tanjong Malim, 14 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam dunia pendidikan apabila menganjurkan Majlis Anugerah Inspirasi Pendidikan bagi meraikan dan mengiktiraf pencapaian cemerlang alumni yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam bidang pendidikan, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Majlis penuh berprestij ini telah berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI. Acara telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), yang turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima.

Program ini berjaya menghimpunkan alumni UPSI yang dikenali sebagai Anak Kandung Suluh Budiman, yang telah menabur bakti dan mencipta impak besar dalam dunia pendidikan. Seramai 10 individu telah menerima pengiktirafan dalam dua kategori utama iaitu Anugerah Tokoh Alumni dan Anugerah Pendidik Cemerlang. Penerima-penerima anugerah ini merupakan figura yang bukan sahaja cemerlang dalam profesion masing-masing, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat umum serta membanggakan institusi asal mereka.

Majlis ini turut diserikan dengan suasana penuh emosi dan kebanggaan ketika penyampaian anugerah kepada para penerima, yang merupakan alumni cemerlang dalam bidang pendidikan. Pengiktirafan ini menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan mereka, sekali gus menyuntik inspirasi dan semangat kepada hadirin, khususnya mahasiswa serta warga pendidik UPSI, untuk terus menabur bakti dalam profesion keguruan dengan dedikasi dan integriti.

Objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk memberi penghargaan terhadap jasa dan sumbangan alumni UPSI dalam memartabatkan profesion pendidikan. Di samping itu, ia juga bertujuan memperkukuh jaringan hubungan antara alumni dan universiti melalui pengiktirafan terhadap peranan aktif mereka dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti, sistem pendidikan dan negara.

Selain menjadi pentas penghargaan, majlis ini turut berperanan sebagai medium motivasi dan penyemaian semangat dalam kalangan alumni untuk terus berkarya, berinovasi serta menjadi ejen perubahan yang progresif dan dinamik dalam dunia pendidikan masa kini. Ia juga diharap dapat menyemarakkan rasa cinta dan keterikatan alumni terhadap alma mater, sekaligus merangsang penglibatan berterusan mereka dalam inisiatif pembangunan UPSI.

Penganjuran ini turut mencerminkan komitmen UPSI dalam memupuk budaya apresiasi dan pencapaian sebagai sebahagian daripada ekosistem akademik dan sosial universiti. Dengan sokongan rakan strategik seperti Maybank Berhad, majlis ini berjaya mencapai matlamatnya bukan sahaja dari sudut penghargaan, malah dalam membina jaringan yang menyokong pembangunan lestari dalam sektor pendidikan.

Secara keseluruhan, Majlis Anugerah Inspirasi Pendidikan UPSI 2025 telah berjaya mencetuskan impak yang positif dalam mengangkat martabat alumni sebagai aset penting universiti. Ia juga menjadi platform penting bagi memperkukuh imej UPSI sebagai institusi pendidikan terunggul di negara ini yang terus komited melahirkan pendidik berkualiti dan berdaya saing.