Oleh: Nur Alia Zahirah Zainon Hamzah Tai

Tanjong Malim, 11 Mei 2025- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  telah mengadakan program mobiliti tanpa kredit (outbound) ke Kanazawa University, Jepun pada 11 Mei 2025 hingga 25 Mei 2025 iaitu selama dua minggu. Pelaksanaan program mobiliti tanpa kredit (outbound) secara resiprokal antara UPSI dan Kanazawa University merupakan program pertama yang dapat membantu memenuhi KPI mobiliti fakulti dan universiti serta membuka peluang dan ruang untuk pelajar dari UPSI dan Jepun untuk menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari kepelbagaian budaya. Program ini merupakan anjuran Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) dan Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC). Program ini telah disertai oleh 6 orang pelajar dari FPM dan seorang pelajar dari fakulti META diiringi oleh dua orang pensyarah FPM. 

Pelaksanaan program mobiliti ini boleh mendedahkan mahasiswa melalui pertukaran pengalaman dan penjanaan idea baharu yang membawa kebaikan kepada kedua-dua institusi. Program ini juga memberikan pendedahan kepada pelajar UPSI berkaitan suasana kampus yang berbeza dan memperkaya pengalaman pembelajaran. Selain itu, dapat mengukuhkan hubungan dengan ‘partnering’ universiti melalui aktiviti pengantarabangsaan seperti pertukaran pelajar.

“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Jepun, khususnya ke Universiti Kanazawa dan Universiti Komatsu. Program mobiliti ini diharap dapat menjadi platform yang bermakna untuk pertukaran ilmu serta memperkukuh kefahaman budaya antara Malaysia dan Jepun. Semoga para peserta memperoleh pengalaman yang bermanfaat untuk perkembangan akademik serta mewujudkan hubungan antarabangsa yang lebih erat pada masa akan datang,” ujar Megumi Shimura, Trustee dan Naib Presiden Komatsu University, dalam ucapan beliau semasa perasmian program di Welcoming Dinner Kizuna Mobility: Path To Global Learning with Kanazawa Univerisity & Komatsu University yang lalu.

Profesor Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, Dekan FPM dalam ucapannya, “Saya amat berbesar hati melihat usaha gigih yang telah dilakukan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini. Program sebegini penting dalam membentuk modal insan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa prihatin dan berdaya saing dalam masyarakat global hari ini.”

Selain itu, Dr Pau Kee, pensyarah Bimbingan dan Kaunseling merangkap Penyelaras Program juga telah menyatakan  bahawa kejayaan program ini bukan sahaja terletak pada perancangan yang rapi, tetapi juga kerjasama erat antara semua warga fakulti dan pelajar. Beliau berharap agar pengalaman dan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan diri dan Masyarakat. 

Profesor Hiroshi Yamamoto dalam ucapannya semasa majlis penutup juga menyatakan bahawa program ini bukan sahaja melibatkan pertukaran pelajar semata-mata tetapi melibatkan pertukaran pengalaman dan juga pengetahuan di peringkat antarabangsa. Beliau amat mengalu-alukan kedatangan pelajar UPSI ke Kanazawa University, Japan di masa yang akan datang.

Program mobiliti tanpa kredit ini dirangka dengan pengisian aktiviti yang padat, menyeluruh dan bermakna, melibatkan aspek akademik, budaya dan sosial. Sepanjang dua minggu di Jepun, peserta mengikuti kelas intensif bahasa Jepun yang turut merangkumi sesi praktikal komunikasi dan pembelajaran kendiri, selain didedahkan dengan pelbagai sesi perkongsian mengenai sistem pendidikan, teknologi dan kaedah pengajaran di Jepun.

Antara aktiviti utama termasuklah lawatan ke sekolah rendah dan sekolah menengah yang memberikan peluang kepada mahasiswa meneliti secara langsung pendekatan pendidikan di Jepun. Kami juga turut menyertai aktiviti bersama mahasiswa tempatan, mempelajari seni dan budaya tradisional Jepun seperti bermain alat muzik serta seni kraf tangan mereka. 

Pengalaman menjalankan aktiviti bersama merupakan satu pengalaman yang sangat berharga buat semua mahasiswa dari UPSI,  Kanazawa University dan Komatsu University. Hal ini  kerana bukan sahaja dapat merasai sendiri suasana pembelajaran di Universiti luar negara, malah hubungan rapat yang terjalin bersama mereka turut mempercepatkan proses mahasiswa UPSI dalam mempelajari bahasa Jepun serta memberi peluang mendalami dan menghargai keunikan budaya mereka dengan lebih mendalam.
Mahasiswa UPSI dan mahasiswa Kanazawa University juga telah bertukar pandangan antara perbandingan budaya di Malaysia dan Jepun di kelas yang terakhir sebagai medium untuk lebih memahami budaya dan tradisi di kedua dua negara.

Dengan pelaksanaan program seperti ini diharapkan mahasiswa bukan sahaja berpeluang menimba pengalaman antarabangsa, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah, memperluas jaringan hubungan, serta meningkatkan penguasaan bahasa dan kefahaman budaya asing. Kesemua elemen ini secara langsung akan menyumbang kepada pembentukan keunggulan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran di peringkat global.