Sesi BergambarSesi Bergambar

Oleh: Muhammad Najib Sharil Aznan

Tanjung Malim, 14 Jun 2025 – Persatuan Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Islam UPSI telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah pada 14 Jun 2025 bertempat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Program yang bernaung di bawah kategori Kerohanian dan Sahsiah ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan dan Kerohanian MAMPAN dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman mahasiswa terhadap kewajipan fardu kifayah berkaitan pengurusan jenazah secara teori dan praktikal.

Kursus dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta, dan diteruskan dengan sesi ceramah oleh penceramah jemputan, Ustaz Yazuli Rosli.

Sesi ceramah turut diselitkan dengan demonstrasi solat jenazah oleh peserta lelaki sebagai pendedahan praktikal.

Slot Ceramah Ustaz Yuzali
Demonstrasi Solat Jenazah
Slot  Praktikal Bersama Uztazah Saniah

Slot kedua yang bermula pada jam 11.15 pagi memberi tumpuan kepada amali pengurusan jenazah secara berasingan mengikut jantina, yang dikendalikan oleh Ustaz Yazuli untuk peserta lelaki dan Ustazah Saniah Che Man untuk peserta perempuan.

Majlis penutup telah berlangsung pada jam 1.00 tengah hari dan disempurnakan oleh kakitangan Pusat Islam UPSI ,Ustaz Ahmad Zain.

Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada penceramah dan merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi daripada barisan jawatankuasa pelaksana program. Sesi bergambar turut diadakan sebagai penutup program.

Slot Praktikal Bersama Uztaz Yazuli
Penyampaian Cenderahati kepada Penceramah

Pengarah Program, Muhammad Najib Sharil Aznan, dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat serta menzahirkan harapan agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap ilmu-ilmu fardu kifayah yang semakin dilupakan.

Program ini bukan sahaja menyentuh aspek akademik dan praktikal, bahkan berperanan membentuk jati diri mahasiswa ke arah insan seimbang dari segi rohani, sahsiah dan sosial.