Oleh: Nur Amirah Rohim

Tanjong Malim, 15 Jun 2025 – Kursus Pra-Perkahwinan Islam 2025 peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya selama dua hari bertempat di Bilik Seminar, Pusat Islam UPSI. Program ini merupakan anjuran bersama antara Pusat Islam UPSI dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Kursus ini memfokuskan kepada penyertaan penuh dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UPSI sahaja.

Tujuannya adalah bagi memberikan pendedahan awal dan kefahaman asas berkaitan kehidupan rumah tangga serta prosedur perkahwinan yang sah menurut undang-undang dan syariat Islam.

Pada masa yang sama, kursus ini menjadi ruang kepada para peserta mendapatkan sijil pra-perkahwinan yang menjadi syarat asas bagi pasangan yang belum pernah berkahwin.

Kursus berlangsung selama dua hari dengan pengisian yang padat dan menyeluruh. Hari pertama bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti dengan pengisian utama seperti pengenalan kepada konsep Tasawur Islam, serta perkahwinan menurut perspektif Islam yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Ideris bin Isahak.

Sesi diteruskan selepas solat Zohor dengan perbincangan mendalam mengenai prosedur perkahwinan serta tanggungjawab suami isteri oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Amirul bin Razali.

Sesi hari pertama diakhiri dengan slot berkaitan pengurusan kesihatan keluarga yang disampaikan oleh Encik Mohamad Najib bin Misbah.

Hari kedua dimulakan dengan topik berkaitan majlis akad nikah dan walimatul urus, serta komunikasi suami isteri dan pengurusan kewangan yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Azam bin Mohamed Adam.

Para peserta turut didedahkan kepada isu berkaitan pembubaran perkahwinan serta pengurusan tekanan dan konflik suami isteri yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairusy Syakirin bin Arifen. Semua sesi disampaikan dengan pendekatan yang mesra mahasiswa, realistik dan mudah difahami.

Sepanjang kursus, suasana penuh kerjasama dan keterbukaan dapat dirasai dalam kalangan peserta dan penceramah. Para peserta memberi respon yang positif terhadap pengisian yang diberikan, malah ramai yang menyifatkan kursus ini membuka mata dan menyedarkan mereka tentang tanggungjawab besar yang menanti dalam kehidupan perkahwinan kelak.

Pusat Islam UPSI merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JAIPk dan para penceramah yang sudi berkongsi ilmu serta para peserta yang telah menunjukkan komitmen sepanjang kursus berlangsung.

Semoga segala usaha ini menjadi amal soleh serta membawa manfaat kepada seluruh warga UPSI yang bakal menempuh alam rumah tangga dengan penuh persediaan, ilmu dan tanggungjawab.