Oleh : Arif Ashraf dan Norrulkamari

Tanjong Malim, 17 Jun 2025 – Bertemakan “Arabian Night”, Majlis Apresiasi Diloma Pendidikan Awal Kanak-kanak, PAKK (MADiP 2025) yang dianjurkan oleh barisan kepimpinan Persatuan Diploma PAKK Sidang 2024/2025 telah berlangsung dengan penuh ceria di Dewan Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Acara yang bermula tepat jam 8.00 malam itu disambut dengan kehadiran pengurusan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) termasuk Dekan dan Timb. Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FPM, barisan pensyarah dan mahasiswa/i DPAKK, yang tampil berpakaian mengikut kod pakaian Arabic malam itu.

Majlis tahunan ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada para pelajar Diploma PAKK yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang pada semester lalu dan juga sahsiah, di samping menjadi wadah untuk meraikan sumbangan dan jasa semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pembangunan program diploma ini.

Pada masa sama, ia turut berfungsi sebagai platform memupuk semangat kekitaan, memperkukuh ukhuwah serta menyemai nilai insaniah dalam kalangan mahasiswa/i UPSI.

Selain itu, para peserta bukan sahaja diraikan dalam sebuah majlis yang penuh prestij, malah turut diberikan pengalaman eksklusif yang diserikan dengan sentuhan budaya Timur Tengah yang kreatif – sejajar dengan tema “Arabian Night” yang menjadi inspirasi utama malam tersebut.

Keindahan dekorasi dewan, alunan muzik Timur yang dipasang serta pencahayaan dramatik berjaya membangkitkan suasana yang mendamaikan.

Majlis disempurnakan oleh ucaan Dekan FPM, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim yang juga merupakan perasmi utama.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa, “Majlis ini bukan sekadar meraikan pencapaian akademik dengan sebuah trofi atau sijil, tetapi tetapi merupakan satu pengiktirafan luar biasa terhadap kecekalan, komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh para pelajar dan pensyarah.

Ini adalah titik permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh dan mencabar dalam dunia pendidikan kanak-kanak. Ucapan ini bukan sahaja membangkitkan semangat, malah menyerlahkan kepentingan majlis sebagai wadah pengiktirafan dan aspirasi kepada warga fakulti khususnya pelajar DPAKK.

Hal ini kerana pentingnya penghargaan sebagai bentuk motivasi dan pengiktirafan kepada pelajar yang telah mencurahkan tenaga dalam bidang akademik, kokurikulum serta aktiviti kemasyarakatan.

Malah, turut ditekankan bahawa nilai-nilai seperti tanggungjawab, disiplin, ihsan dan kasih sayang merupakan teras utama dalam pembentukan pendidik awal kanak-kanak yang berkualiti.

Seterusnya, majlis diberi kesempatan kepada Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Seah Siok Peh untuk menyampaikan sedikit ucapan dan pesanan kepada anak-anak DPAKK.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada barisan pensyarah yang mengajar dalam bertungkus lumus mendidik dan menyampaikan ilmu kepada anak-anak DPAKK sepanjang pengajian mereka, dan tanpa pendidik yang hebat, manakan lahir mahasiswa/i yang cemerlang dan bijak pandai.

Selain itu, diselitkan juga dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Ainur Farisya Mohamad Hafizi.

Melalui ucapan ringkasnya, majlis ini bukan sekadar untuk gaya berpakaian semata-mata, tetapi ia adalah simbol pengiktirafan dan penghargaan terhadap segala pengorbanan pelajar demi mencapai keputusan yang baik pada setiap semester.

“Ia juga memberi kami semangat baharu untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak,” ujarnya.

Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah khas kepada pensyarah, antaranya Anugerah Pensyarah Paling Mesra, Anugerah Pensyarah Terbaik dan Anugerah Pensyarah Komited.

Kejayaan seorang pendidik yang dikenali pensyarah bukanlah atas sekadar anugerah namun, setiap jasa dan ilmu yang dicurahkan, itulah sebenarnya yang menjadi kayu ukur atas setiap kecemerlangan yang diraih pelajar.

Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar mengikut kategori, antaranya Anugerah Dekan untuk batch Zealous dan Saphhire, Anugerah Mata Champ Terbaik, Anugerah Pelajar Komited dan Anugerah Pelajar Paling Perform.

Setiap penerima anugerah menerima sijil penghargaan dan cenderahati khas sebagai simbol apresiasi atas usaha gigih mereka sepanjang tempoh pengajian pada semester lalu.

Sorakan dan tepukan gemuruh daripada rakan-rakan menjadi pendorong dan galakan kepada semua mahasiswa/i serta menjadi memori kepada detik-detik manis buat mereka semua.

Di samping itu, terdapat juga slot cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik kepada yang hadir menjadikan majlis lebih bermakna yang turut disampaikan hadiah oleh jemputan VIP dan juga barisan pensyarah yang hadir kepada penerima cabutan bertuah.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada King dan Queen of the night bagi tema Arabian seterusnya sesi bergambar bersama jemputan khas, barisan pensyarah dan  mahasiswa/i DPAKK serta yang hadir.

Senyuman yang terukir di wajah setiap hadirin jelas membuktikan kejayaan majlis ini mampu membina hubungan yang baik antara mahasiswa/i dan juga pensyarah di samping menyemai rasa hormat, kasih sayang serta tanggungjawab kepada semua.

Kesimpulannya, Majlis Apresiasi DPAKK (MADiP) 2025 bukan sekadar sebuah acara formal, tetapi sebuah simbolik penghormatan yang memberi makna besar kepada seluruh komuniti DPAKK.

Ia membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya terletak pada pencapaian akademik, tetapi juga pada nilai-nilai kemanusiaan yang dipegang teguh dalam setiap langkah perjuangan.

Diharapkan majlis seperti ini akan terus dianjurkan secara konsisten bagi menghargai usaha mahasiswa/i dalam menyuburkan budaya apresiasi dalam kalangan warga UPSI khususnya siswa/i DPAKK.