Oleh: Nazirul Haizri Ridzuaan
Tanjong Malim, 5 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukan sebagai universiti pendidikan unggul apabila menerima lawatan delegasi dari Center for Language Education and Cooperation (CLEC), Kementerian Pendidikan China dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Delegasi CLEC yang hadir terdiri daripada Ms. Zhang Xu, Timbalan Ketua Pengarah, Ms. Kong Jia, Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Am, Ms. Zhu Jie, Pegawai Projek Kanan Bahagian Hal Ehwal Am, dan Mr. Yu Mengfei Pegawai Projek Kanan Bahagian Hal Ehwal Asia dan Afrika.


Program anjuran bersama Pusat Alumni UPSI ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara UPSI dan CLEC, malah menjadi platform strategik dalam usaha memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang bahasa dan pertukaran akademik.

Menariknya, lawatan ini turut membuka ruang perbincangan awal berkaitan potensi pembangunan jaringan alumni antarabangsa, terutamanya dalam kalangan bekas pelajar UPSI yang kini berkhidmat di China dan rantau Asia Timur.
Prof. Dato’ Dr. Md. Amin menyatakan keyakinan terhadap potensi jangka panjang hubungan ini dengan menyifatkan lawatan tersebut sebagai langkah awal yang amat bermakna dalam memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa. Menurut beliau, antara objektif utama lawatan ini adalah meneroka kerjasama dalam pembangunan program bahasa, pertukaran pelajar dan pensyarah, serta pelaksanaan penyelidikan bersama, selain memperkenalkan keupayaan dan pencapaian UPSI sebagai universiti pendidikan unggul negara kepada pihak CLEC.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said menjelaskan bahawa kerjasama ini berpotensi menganjurkan program berimpak tinggi bersama alumni antarabangsa, termasuk seminar, forum dan bengkel rentas budaya, serta penubuhan UPSI China Alumni Chapter. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik sebegini mampu memperkukuh keterlibatan alumni dalam jaringan global UPSI dan menyokong aspirasi universiti dalam bidang diplomasi akademik dan promosi antarabangsa.
Lawatan ini dijangka memberi impak positif termasuk membuka laluan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dan CLEC dalam masa terdekat, serta memperluas peluang dalam pertukaran pelajar dan pensyarah, pembangunan modul dwibahasa dan penganjuran program bersama dalam bidang kebahasaan dan kebudayaan.
UPSI turut menyatakan harapan agar lawatan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inovasi dalam pendidikan bahasa, terutamanya dalam pembangunan bahan bantu mengajar serta platform pembelajaran digital yang efektif dan mesra pengguna, di samping memperkukuh persefahaman budaya antara Malaysia dan China dan meningkatkan reputasi UPSI di peringkat antarabangsa melalui kolaborasi yang mampan.
