Oleh: NurDinie Auni dan Norrulkamari
Tanjong Malim, 19 Jun 2025 – Program Food Plating merupakan salah satu tugasan di bawah kursus KAT1023 Pendidikan Kesihatan dan Keselamatan untuk Awal Kanak-kanak, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh mahasiswa Diploma PAKK pada tahun pertama pengajian.


Aktiviti yang dijalankan pada minggu keempat kuliah ini adalah sebagai penilaian tugasan pelajar dalam menguasai Course Learning Outcomes (CLO) yang ketiga dengan baik seperti dalam Proforma kursus iaitu penyediaan menu pemakanan seimbang dan sihat dalam awal kanak-kanak mengikut peringkat umur yang sesuai. Dalam aktiviti ini, setiap kumpulan pelajar diberi umur yang berbeza bermula peringkat bayi sehingga umur 6 tahun.
Selain itu, terdapat juga pelaksanaan aktiviti pertolongan cemas dengan menekankan teknik yang betul dengan mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang kuliah untuk laksanakan secara praktikal melalui kemahiran bantuan sementara seperti Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR), balutan dan bantuan tercekik atau tersedak. Pelaksanaan program ini bertempat di Makmal Inkubator, blok 9 FPM, UPSI.


Objektif utama aktiviti ini adalah memastikan pelajar lebih peka dalam penyediaan makanan awal kanak-kanak selain dapat mempraktikkan kemahiran dalam pertolongan cemas terhadap sesuatu kecemasan yang berlaku. Hal ini dapat meningkatkan disiplin dan keyakinan diri setiap mahasiswa yang mengambil kursus ini.


Setiap kumpulan perlu merancang dan mempersembahkan menu masing-masing melalui pembentangan secara praktikal dengan menekankan elemen sihat dalam menyediakan menu seimbang awal kanak-kanak. Penyelaras kursus iaitu Puan Norrulkamari menilai hasil tangan pelajar dengan merasa dan memberi komen terhadap setiap menu yang disediakan oleh setiap kumpulan pelajar dan juga memberi peluang kepada para pelajar untuk merasa makanan sihat kanak-kanak seperti makanan utama, puri sayur, puri buah dan side dish seperti pencuci mulut dan snek yang sihat untuk kanak-kanak.

Aktiviti pembelajaran berkonsepkan praktikal yang dilaksanakan ini sangat-sangat mencapai CLO dengan baik dalam kalangan pelajar yang mengambil kursus ini walaupun ada sebahagian kumpulan sanggup menghabiskan duit untuk membeli bahan mentah dan bertungkus lumus mencari idea untuk resepi bagi menyediakan menu seimbang masing-masing demi mendapatkan penilaian yang lebih baik daripada pensyarah kursus. Harapan daripada penyelaras kursus adalah segala apa yang dipelajari oleh siswa siswi kursus KAT1023 ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian mereka serta dapat dipraktikkan ilmu dan pengalaman ini sewaktu latihan mengajar yang akan mereka lalui pada Disember 2025 nanti.
