Sesi bergambar semua pemain gabungan staf dan pelajar UPSI

Tanjong Malim, 21 Jun 2025 – Pasukan gabungan staf dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulan serta keutuhan semangat kesukanan warga universiti apabila berjaya menampilkan aksi cemerlang dan seterusnya dinobatkan sebagai juara Kejohanan Hoki 9 Sebelah Campuran Terbuka UPSI 2025. Kejohanan yang berlangsung penuh meriah dan berprestij itu telah diadakan di Padang Turf Hoki, Kampus Sultan Azlan Shah, menyaksikan pertembungan sengit antara empat pasukan yang mewakili pelbagai entiti dalaman UPSI.

Sesi bergambar semua pemain gabungan staf dan pelajar UPSI

Kejohanan edisi kali ini telah menampilkan penyertaan sebanyak empat pasukan dalaman UPSI yang terdiri daripada gabungan pelajar pelbagai fakulti, wakil kolej kediaman serta kakitangan sokongan universiti. Walaupun jumlah penyertaan terhad, saingan yang ditampilkan cukup sengit dan berkualiti, dengan setiap pasukan mempamerkan semangat juang tinggi, strategi permainan yang tersusun serta kerjasama sepasukan yang mantap. Aksi lincah dan taktikal yang menarik dapat disaksikan sepanjang kejohanan, menjadikan setiap perlawanan berlangsung dalam suasana penuh debaran dan daya saing yang sihat.

Selain itu, Pasukan gabungan staf dan pelajar UPSI juga turut mempamerkan keserasian yang luar biasa di atas padang, dengan strategi permainan yang kemas dan persefahaman mantap. Pasukan ini turut dibarisi oleh beberapa atlet dari Bahagian Keselamatan UPSI, termasuk Insp. PB Siti Suriana, KPL PB Shahrul Bakhtiar, Saiful Maula dan Shuren Syazwan yang memainkan peranan penting dalam kekuatan pasukan secara keseluruhan. Kepimpinan dan pengalaman mereka di atas padang membantu pasukan mempamerkan disiplin tinggi, sekali gus menewaskan pencabar dalam perlawanan akhir dengan keputusan yang meyakinkan.

Foto pemain bersama medal kemenangan

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penyelaras Unit Badan Beruniform, Pusat Kokurikulum UPSI, Dr. Mazarul Hassan Mohammad Hanapi, yang hadir bagi mewakili pihak pengurusan universiti dalam meraikan kejayaan para peserta. Dalam ucapan ringkas beliau, Dr. Mazarul merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan gabungan staf dan pelajar UPSI atas kejayaan yang membanggakan serta penghargaan kepada semua pasukan yang telah mengambil bahagian dengan penuh semangat kesukanan dan komitmen yang tinggi.

Kejayaan ini jelas membuktikan betapa sukan mampu menjadi medium penyatuan antara pelajar dan staf UPSI, serta memperkukuhkan budaya kerjasama dan kekitaan dalam komuniti kampus. Inisiatif seperti ini juga selari dengan usaha UPSI dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan kecemerlangan menyeluruh dalam kalangan warganya.