Semangat Inovasi Bersama: Sesi Begambar Bersama Peserta Dan Fasilitator Bengkel Asas Elektrobotik.Semangat Inovasi Bersama: Sesi Begambar Bersama Peserta Dan Fasilitator Bengkel Asas Elektrobotik.

Oleh: Rachel Res Robert

Tanjong Malim, 21 Jun 2025 – Exco Akademik dan Kerjaya Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK) Sesi 2024/2025, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) dengan kerjasama daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Bengkel Asas Elektrobotik: Robotik dan Asas Elektronik bertempat di Bengkel Elektronik, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI.

Program ini telah disertai oleh seramai 35 orang pelajar dan 6 guru daripada SMK Lela Segara, Marang Terengganu serta barisan para ahli jawatankuasa daripada PERMATEK.

Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pemahaman asas tentang robotik dan elektronik kepada para pelajar sekolah SMK Tengku Lela Segara serta dapat memberikan pendedahan kepada mereka tentang pelbagai aplikasi dan penggunaan robotik dalam kehidupan seharian.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti bengkel interaktif yang memberi peluang kepada para pelajar sekolah untuk mempelajari secara langsung asas pemasangan komponen elektronik dan pengaturcaraan asas robotik dalam suasana yang menyeronokkan.

Pengarah Program, Nurul Amirah ‘Izzati Mohd Latfi berkata “Program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada dunia elektronik dan robotik, malah menjadi jambatan untuk menghubungkan universiti dan komuniti terutamanya pelajar sekolah menengah seperti adik-adik dari SMK Tengku Lela Segara”.

Sesi penyerahan simbolik dan persefahaman teknologi antara PERMATEK, FTV UPSI dan SMK Tengku Lela Segara
Aktiviti Bersama Pelajar di Bengkel.

“Matlamat utama kami adalah untuk berkongsi ilmu dan kemahiran, serta membina keyakinan dalam kalangan generasi muda supaya lebih celik teknologi, kreatif, dan bersedia menyahut cabaran masa hadapan.” Ujarnya lagi.

Amir Azril Mohd Ali, Penasihat PERMATEK dalam ucapan perasmiannya berkata “Program ini memperlihatkan satu bentuk kolaborasi yang sangat positif antara mahasiswa universiti dengan pelajar sekolah serta para guru. Melalui perkongsian ilmu ini, kita bukan sahaja dapat memupuk minat dalam bidang teknikal dan vokasional, tetapi juga menanam nilai kepimpinan, komunikasi dan kerjasama antara generasi”. 

“Saya percaya, dengan adanya bengkel seperti ini, para pelajar akan mendapat inspirasi dan motivasi untuk terus meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta melihat masa depan mereka dalam dunia yang dipenuhi dengan inovasi.” Ujarnya lagi. 

Program Bengkel Asas Elektrobotik: Robotik dan Asas Elektronik telah melabuhkan tirai dengan semangat yang membara dalam kalangan para peserta dan penganjur. Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh mahasiswa PERMATEK serta sambutan positif daripada guru dan pelajar sekolah telah menyerlahkan lagi keberkesanan program ini sebagai medium pemindahan ilmu yang bermanfaat. Bengkel ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif pendidikan yang mendekatkan universiti dengan komuniti luar, khususnya dalam bidang STEM.