Sumbangan Bantual Pack Makanan Kepada Setiap BatchSumbangan Bantual Pack Makanan Kepada Setiap Batch

Oleh: Angline Agaie Janting

Tanjong Malim, 18 Jun 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sesi 2024/2025 dengan kerjasama persatuan di bawah Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) iaitu Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK), Persatuan Mahasiswa Sains Pertanian (PERSSAP) dan Persatuan Mahasiswa Keluarga dan Sains Konsumer (FACSA) serta sokongan daripada Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah menganjurkan Program Rehlah Ukhuwah x Majlis Perasmian Pinjaman Set Lukisan Kejuruteraan bertempat di Dewan Kuliah Pusat 6, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

Program ini telah berjaya memberi manfaat kepada 180 orang pelajar FTV melalui penyaluran bantuan bakul makanan asas di bawah inisiatif Program Rehlah Ukhuwah. Objektif utama program ini adalah untuk membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan yang terdiri daripada latar belakang keluarga B40.

Selain itu, program ini juga disekalikan dengan Majlis Perasmian Pinjaman Set Lukisan Kejuruteraan sebagai kemudahan kepada pelajar FTV yang tidak mampu memiliki peralatan Set Lukisan Kejuruteraan sendiri dan untuk kegunaan akademik.

Majlis turut menampilkan simbolik pelancaran inisiatif pinjaman Set Lukisan Kejuruteraan disusuli dengan penyerahan bantuan makanan asas kepada mahasiswa yang terpilih sebagai salah satu tanda keprihatinan warga fakulti terhadap kebajikan pelajar.

Ucapan Dekan dan Serahan Set Lukisan Kejuruteraan
Majlis Penyampaian Cenderahti Kepada Perasmi Program

Dekan FTV, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain, di dalam ucapan perasmiannya berkata “Usaha murni ini bukan sahaja memfokus kepada kebajikan pelajar melalui sumbangan makanan asas tetapi turut memperkenalkan sistem pinjaman Set Lukisan Kejuruteraan yang sangat bermanfaat”. 

“Inisiatif sebegini mencerminkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Nilai ini amat penting dalam pembangunan holistik warga fakulti dan universiti.” ujarnya lagi.

Terrie Nana Anak Stephen Kelat selaku Pengarah Program melalui ucapan juga berkata “Program ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif kebajikan yang akan dilakukan dan berharap usaha ini akan terus mendapat dengan sokongan daripada pihak fakulti lagi.”

Program Rehlah Ukhwah FTV 2025 telah melabuhkan tirai dengan penuh makna dan semangat kebersamaan. Ucapan perasmian yang menyentuh nilai keprihatinan, solidariti dan tanggungjawab sosial telah mengukuhkan matlamat program sebagai pemangkin kebajikan mahasiswa. Semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak usaha lestari yang menyokong kesejahteraan komuniti kampus UPSI.