Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon dan Norzid Firusi bin Khairul Zahar
Tanjong Malim, 8 Julai 2025 – Bahagian Sumber Manusia dengan kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Bahasa Isyarat pada 8 Julai 2025 bertempat di Dewan Sri Tanjong, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAJS), UPSI. Kursus ini telah berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan disertai oleh seramai 36 orang staf UPSI daripada pelbagai jabatan dan fakulti.
Penceramah jemputan bagi kursus ini ialah Dr. Vestly Kong Liang Soon, Pensyarah Kanan dari Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia yang juga merupakan pakar dalam bidang Pendidikan Khas, khususnya untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Pendengaran.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memperkasa pengetahuan asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam kalangan warga kerja UPSI bagi menyokong inisiatif universiti ke arah pendidikan inklusif dan perkhidmatan mesra OKU. Melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan demonstrasi secara langsung, para peserta berpeluang mempelajari pelbagai konsep asas seperti abjad isyarat, sapaan harian, ekspresi wajah dan kaedah komunikasi dua hala bersama individu ketidakupayaan pendengaran.
Dalam ucapan aluan, wakil Bahagian Sumber Manusia menekankan pentingnya kefahaman terhadap Bahasa Isyarat sebagai satu bentuk literasi komunikasi sejagat di UPSI. “Kursus ini bukan sahaja memenuhi aspek pembangunan profesional staf, malah membuka ruang kepada budaya hormat, empati dan keterangkuman dalam perkhidmatan universiti,” katanya.

Antara peserta yang hadir termasuk pegawai tadbir, pembantu tadbir, pensyarah universiti, juruteknik komputer, pembantu kesihatan, pembantu keselamatan serta wakil dari pelbagai pusat dan fakulti seperti Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (PTMK), Jabatan Strategik, Pusat Alumni, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Sains dan Matematik, serta Jabatan Bendahari. Kehadiran pelbagai latar belakang peserta jelas menunjukkan komitmen UPSI dalam menjayakan dasar kesaksamaan akses perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berkeperluan khas.
Dr. Vestly Kong Liang Soon dalam sesi interaktif beliau turut berkongsi pengalaman terlibat dalam penyelidikan dan latihan guru-guru pendidikan khas serta menggesa peserta agar menjadikan komunikasi inklusif sebagai satu kemahiran penting di tempat kerja. Beliau turut memuji kesungguhan peserta yang aktif memberikan respons sepanjang sesi, walaupun ramai antara mereka pertama kali mempelajari Bahasa Isyarat.

Para peserta menyatakan rasa puas hati dan teruja selepas menyertai kursus ini. “Saya tidak sangka Bahasa Isyarat boleh menjadi sangat menyeronokkan untuk dipelajari. Ia membuka mata saya tentang bagaimana untuk berinteraksi dengan komuniti ketidakupayaan pendengaran dengan lebih yakin,” ujar salah seorang peserta kursus Asas Bahasa Isyarat.

Kursus ini turut menyokong aspirasi UPSI untuk menjadi universiti pendidikan unggul yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah prihatin terhadap pembentukan masyarakat inklusif dan penyayang. Pihak penganjur berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan dan diperluaskan kepada pelajar serta komuniti setempat sebagai langkah menyokong pendidikan untuk semua (Education for All).
