Oleh: DR. JAMILAH MOHD BASIR

Kuala Lumpur, 7 Julai 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dijemput menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Kelima Belas Bil. 5 Tahun 2025 yang berlangsung di Bangunan Blok Utama, Parlimen Malaysia.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Yeo Bee Yin dan dihadiri oleh pelbagai wakil kementerian, agensi kerajaan serta ahli-ahli Parlimen yang komited terhadap usaha pembangunan masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Deligasi NCDRC diketuai oleh Prof Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dan turut hadir bersama Dr. Nadia Shahira Amiruddin dan Dr. Jamilah Mohd Basir.

Dalam mesyuarat tersebut, NCDRC telah diberi ruang untuk membentangkan hasil penyelidikan terkini berkaitan pembangunan kanak-kanak peringkat kebangsaan, termasuk pembangunan modul dan latihan yang sedang dan telah dilaksanakan oleh pusat ini.

Pembentangan ini memberikan tumpuan kepada hasil dapatan penyelidikan empirikal yang dijalankan terhadap perkembangan awal kanak-kanak di Malaysia, termasuk pemetaan keperluan semasa dan cadangan strategi intervensi yang lebih efektif.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah wakil dari pelbagai agensi penting, antaranya SUHAKAM (Puan Izyan Hazwani), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Puan Lidiawati dan Puan Fairojibanu), Kementerian Belia dan Sukan (Tuan Abdul Hakim), Kementerian Digital dan Wanita (Dr. Hartini) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Tuan Mohd Daud).

Kehadiran ahli-ahli Parlimen daripada kawasan Bukit Bendera, Tumpat, Ampang, Puchong, Rantau Panjang, Beaufort dan Kapar menzahirkan sokongan menyeluruh terhadap isu pembangunan kanak-kanak sebagai agenda nasional.

Mesyuarat ini memberi isyarat jelas bahawa data dan dapatan penyelidikan dari NCDRC memainkan peranan yang signifikan dalam membantu kerajaan menilai dan menambah baik polisi-polisi berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak di negara ini.

Dengan pendekatan berasaskan bukti, penyelidikan yang dibangunkan oleh NCDRC bukan sahaja memberi gambaran jelas tentang situasi semasa kanak-kanak di Malaysia, malah menawarkan cadangan relevan untuk pelaksanaan program yang lebih lestari dan inklusif.

NCDRC UPSI komited untuk terus menyumbang kepada pembentukan polisi dan amalan yang berteraskan kesejahteraan dan perkembangan holistik kanak-kanak.

Penyertaan dalam mesyuarat khas ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran akademik UPSI dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta peranannya sebagai institusi rujukan negara dalam pembangunan kanak-kanak.

Keterlibatan berterusan antara ahli akademik, penggubal dasar dan pemegang taruh utama seperti ini diharapkan dapat memacu transformasi pendidikan awal negara ke arah yang lebih progresif, setara dan mampan demi masa depan generasi akan datang.