Oleh: Dr. Ahmad Majdi Mat Salleh

TANJONG MALIM, 3 Julai 2025 – Pihak SKOLAR dengan kerjasama Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI berjaya menganjurkan Webinar B-inovatif :Dari Idea ke Aksi, yang bertemakan “Transformasikan Pengalaman PdP Anda Menjadi Inovasi Bertaraf Pertandingan”.

Bergkel 2 jam ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan asas kepada golongan pendidik dan bakal pendidik dalam penyediaan produk inovasi yang bermutu tinggi dan boleh diketengahkan dalam pertandingan inovasi.

Bengkel ini adalah bertepatan dengan penganjuran Pertandingan Inovasi Pengajaran Bahasa peringkat Kebangsaan  (B-Inovatif 2025) yang bakal berlangsung secara dalam talian pada 12 September 2025. 

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Dr. Mohammad Tazli Azizan yang merupakan seorang pakar dalam berpengalaman luas dalam bidang inovasi pengajaran dan telah menerima pelbagai anugerah pengajaran, penyelidikan dan penghargaan komuniti atas sumbangannya dalam bidang akademik dan pembangunan insan.

Beliau kini bertugas sebagai Associate Professor di Universiti Brunei Darussalam selain menjadi pengasas bersama Skolar Malaysia.

Kepakarannya meliputi pedagogi inovatif seperti flipped‑cooperative learning, pembelajaran berasaskan projek dan penggunaan AI dalam pendidikan, serta aktif sebagai jurulatih HRDCorp dan Canva Verified Expert. Dr. Tazli juga penulis buku Revolusi Pedagogi dan Panduan Lengkap Penggunaan Chat GPT dalam Bilik Darjah sering dijemput sebagai pembicara utama dan fasilitator bengkel di IPT dan komuniti.  

Bengkel yang bermula tepat jam 8.30 p.m. itu telah dirasmikan oleh Pengarah AKAR, Dr. Mazlin Mokhtar yang turut menyatakan hasrat beliau agar perkongsian ini mampu menjadi asas penyediaan inovator-inovator yang berkualiti serta produk-produk inovasi yang mempunyai impak besar dalam pengajaran bahasa antarabangsa. 

Antara perkongsian Dr. M. Tazli Azizan yang sangat penting dalam pembinaan produk inovasi yang bertaraf pertandingan adalah inovasi tersebut perlu disokong dengan data dan rekod yang mencukupi dalam setiap fasa pembangunan produk sehinggalah dalam penilaian dan pembuktian keberkesanan produk tersebut.

Selain itu, pembangunan produk inovasi yang layak dipertandingkan juga perlu bersandarkan kepada teori dan dapatan kajian terdahulu.

Pendaftaran B-Inovatif 225 masih dibuka sehingga 25 Julai 2025 dan penghantaran video inovasi dibuka sehingga 22 Ogos 2025. Rebutlah peluang keemasan ini; peluang inovasi anda dinilai dan dihargai.