Oleh: Anees Nabila Sakinah Nazari
SLIM RIVER, 28 MEI 2025 – Pada 28 Mei 2025 yang lalu, Program SULAM 2.0 telah berjaya dilaksanakan di Maahad Tahfiz Al-Hilmi, Slim Village dengan penglibatan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pelajar sekolah berumur antara 10 hingga 16 tahun.
Program ini diadakan sebagai inisiatif untuk memantapkan kemahiran penulisan dalam Bahasa Arab dengan pendekatan penggunaan perkataan yang mudah, ayat yang tepat, dan struktur tatabahasa yang betul.
Ia sekaligus bertujuan membantu pelajar mengubah persepsi bahawa membina ayat dalam Bahasa Arab adalah sukar, dan sebaliknya menjadikan proses tersebut menyeronokkan dan mudah difahami.
Program bermula seawal jam 8.15 pagi dengan peserta berkumpul di stesen KHAR sebelum bertolak ke lokasi. Setibanya di Maahad Tahfiz, pelajar UPSI dan pelajar sekolah disambut dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan aluan oleh pengacara majlis, persembahan nasyid Asmaul Husna, nyanyian lagu Negaraku serta perasmian oleh wakil pensyarah UPSI. Suasana penuh semangat dan keterujaan jelas terpancar dalam kalangan pelajar yang hadir.
Sesi pembelajaran dimulakan dengan aktiviti ice breaking dan taklimat ringkas tentang program. Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan peringkat umur untuk sesi bengkel penulisan.
Tajuk yang dibincangkan dalam sesi ini ialah “أسرتي” (keluarga saya) dan “مدرستي” (sekolah saya), yang merupakan tajuk asas dalam kurikulum Bahasa Arab. Kaedah pengajaran berfokuskan kepada penghasilan ayat mudah yang mengikut struktur tatabahasa yang betul, membolehkan pelajar menyusun ayat dengan lebih yakin dan terarah.
Pelaksanaan aktiviti dalam kumpulan turut mendorong pelajar untuk berinteraksi dan saling membantu antara satu sama lain.
Selepas waktu rehat, program diteruskan dengan aktiviti explorace yang dikendalikan oleh fasilitator pelajar UPSI.
Aktiviti ini menggabungkan unsur permainan dan pembelajaran melalui pelbagai cabaran seperti mencari perkataan dalam tepung, telefon karat, dialog bergambar, meneka gambar, dan belon air.
Aktiviti ini berjaya mencetuskan semangat kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal dalam kalangan peserta. Para pelajar menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi sepanjang aktiviti dijalankan, dan kumpulan “Boboiboy” diumumkan sebagai pemenang utama explorace pada hari tersebut.
Kejayaan program ini tidak hanya terletak pada keberkesanan pengajaran Bahasa Arab, tetapi juga dari sudut pembentukan sahsiah pelajar serta pendedahan kepada pengalaman bekerja secara berpasukan.
Ia turut menjadi platform latihan kepada mahasiswa UPSI dalam aspek kepimpinan, pengurusan program, komunikasi, dan kerjasama bersama komuniti sekolah.
Dr. Fatimah Suo Yan Mei selaku penasihat program memberi peluang sepenuhnya kepada barisan Ahli Majlis Tertinggi dan jawatankuasa pelaksana untuk mengurus program dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan, termasuk penyediaan modul dan pengurusan kewangan.

Dr Fatimah Suo Yan Mei selepas selesai program.

Walaupun terdapat sedikit kekangan seperti jumlah peserta sekolah yang tidak mencapai sasaran asal, program secara keseluruhannya berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
Para pelajar memberikan maklum balas yang positif dan menunjukkan peningkatan keberanian menggunakan Bahasa Arab dalam perbualan seharian. Sesi bergambar dan majlis penutup mengakhiri program dengan penuh penghargaan dan kepuasan daripada semua pihak yang terlibat.
Program SULAM 2.0 telah membuktikan bahawa pengajaran Bahasa Arab tidak semestinya terhad kepada kelas dan buku teks semata-mata, tetapi boleh diterapkan secara santai dan menyeronokkan melalui pendekatan yang lebih interaktif.
Inisiatif sebegini wajar diteruskan dan diperkembangkan agar manfaatnya dapat dirasai lebih meluas dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
