Oleh: Mimi Safiah Balqis Mazlin

Tanjong Malim, 11 Jun 2025 – Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Kesukarelawanan dan Pendidikan Masyarakat telah menganjurkan program FPE Cares: Sumbangkan Darah, Selamatkan Nyawa bertempat di Ruang Legar, Masjid Al-Mursyidin.

Program berbentuk kempen kesedaran ini telah dijalankan dengan kerjasama Hospital Slim River dan mendapat sambutan luar jangka daripada warga kampus.

Seramai 150 orang telah hadir sepanjang program berlangsung, dengan 91 peserta mendaftar sebagai penderma darah.

Daripada jumlah tersebut, 56 orang telah layak dan berjaya menderma darah, sekali gus membantu menambah bekalan darah hospital yang amat diperlukan.

Pendaftaran peserta dibuka seawal 8.30 pagi dan ditutup pada jam 11.00 pagi, namun program diteruskan sehingga jam 1.00 tengah hari bagi memberi ruang kepada peserta menjalani proses saringan dan pendermaan dengan selesa.

Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan pendermaan darah, malah turut menjadi platform membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan pengurusan acara dalam kalangan pelajar.

Para peserta turut diberi penerangan oleh petugas kesihatan mengenai proses pendermaan darah, manfaat kesihatan serta prosedur keselamatan yang terlibat, sekali gus membantu menghapuskan stigma yang sering dikaitkan dengan pendermaan.

Pengarah program, Mimi Safiah Balqis Mazlin berkata bahawa penganjuran kali ini membuktikan bahawa mahasiswa UPSI memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Kehadiran yang memberangsangkan serta sambutan luar jangka termasuk peserta walk-in menunjukkan kesedaran masyarakat kampus terhadap isu kesihatan semakin meningkat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pengurusan program yang melibatkan pelajar secara menyeluruh memberi peluang latihan sebenar dalam merancang dan melaksanakan aktiviti berbentuk kebajikan.

FPE Cares: Sumbangkan Darah, Selamatkan Nyawa bukan sekadar kempen kesihatan, malah merupakan manifestasi komitmen UPSI dalam membina generasi mahasiswa yang prihatin, bertanggungjawab dan seimbang.

Program ini juga menyokong aspirasi Sustainable Development Goal 3 (SDG3): Good Health and Well-being dan diharap dapat diteruskan sebagai inisiatif tahunan dalam memperkasa budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga FPE.