Oleh : Noraini Aminuddin dan Dr. Nurhanie Mahjom
TANJUNG MALIM, 4 Jun 2025 – Seramai 31 peserta yang terdiri daripada mahasiswa/i Kursus PEA3083 Ekonomi Kepenggunaan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai satu lawatan akademik ke Kilang Ajinomoto di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada komponen pembelajaran kursus yang bertujuan mendedahkan pelajar kepada realiti industri makanan tambahan, khususnya dalam konteks persaingan jenama dan tingkah laku pengguna.
Menurut pensyarah program, Dr. Nurhanie Mahjom, lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri proses pengeluaran MSG serta strategi pemasaran dan penjenamaan yang digunakan oleh Ajinomoto bagi mengekalkan kedudukannya di pasaran.


“Melalui sesi taklimat, lawatan ke galeri pelawat dan kilang, demonstrasi masakan serta aktiviti interaktif, pelajar dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari dengan lebih bermakna,” jelas beliau.
Sesi lawatan turut disambut oleh wakil dari Kilang Ajinomoto, En. Norazmi Mohamad, selaku Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat dan Perniagaan Ajinomoto (Malaysia) Berhad, yang memberikan penerangan terperinci mengenai operasi syarikat, strategi komunikasi korporat, serta komitmen Ajinomoto dalam memperkukuh imej jenama di peringkat nasional dan global.



Program bermula seawal jam 6.30 pagi dengan taklimat awal dan bertolak ke kilang menaiki bas yang disediakan. Antara aktiviti utama termasuk sesi soal jawab bersama pihak pengurusan, kuiz pengguna, aktiviti outdoor berkumpulan serta pertandingan “Cari Kata” berkaitan isu kepenggunaan.
Lawatan ini juga menjadi platform bagi pelajar mengembangkan kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, pengurusan projek, serta pemikiran kritikal dalam menilai dinamika pasaran makanan tempatan.
Fokus utama pembelajaran termasuklah:
- Memahami strategi bersaing dalam industri makanan;
- Menganalisis perbezaan kualiti dan inovasi antara jenama MSG;
- Mengaplikasi konsep permintaan dan penawaran dalam pasaran sebenar;
- Menilai keberkesanan strategi penjenamaan dan pemasaran.



Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar melalui struktur jawatankuasa pelaksana yang tersusun, meliputi unit protokol, pengangkutan, kebajikan, makanan dan multimedia.
Pihak fakulti merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat serta berharap pengalaman ini akan membentuk mahasiswa/i yang lebih peka, analitikal dan bertanggungjawab sebagai pengguna dalam ekosistem ekonomi negara.
