‘Afif Afnan (kiri) di kaunter BHEA‘Afif Afnan (kiri) di kaunter BHEA

oleh: Arissa Hasya Auni

Tanjung Malim, 6 Julai 2025 – Juara Kejohanan Boling Amatur UPSI Ke-97, Ahmad ‘Afif Afnan menjadi pelajar diploma UPSI yang pertama mendaftar masuk sempena Hari Pendaftaran Diploma Sidang Akademik Semester 1, Sesi 2025/2026 pada hari ini bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar.

Ketika sesi pendaftaran dibuka, ‘Afif, anak kelahiran Tanjung Malim ini menjadi pelajar pertama selesai mendaftarkan diri bermula kaunter Bendahari, Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Akademik sehingga kaunter cenderamata.

Sewaktu ditemui selepas sesi pendaftaran itu, beliau sangat teruja dapat mendaftar di UPSI dan kerana itulah dia berazam untuk mencatatkan sejarah sebagai pelajar diploma UPSI pertama mendaftar.

“Saya sampai di kampus ini sejak jam 7 pagi lagi dan sanggup menunggu sehingga jam 8.15 pagi sehingga dibenarkan masuk ke dalam dewan” tambah ‘Afif yang mengambil Diploma Keusahawanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).

‘Afif Afnan ketika bergelar juara pada Februari 2025 lepas
Fazli (belakang kanan) bersama keluarga
Petugas KAB yang Komited

Bila ditanya sebab memilih UPSI sebagai pilihan pertama, beliau menambah UPSI merupakan Universiti terbaik yang bukan sahaja mengutamakan kualiti akademik malah adab dan akhlak.

Nama UPSI yang semakin disebut di persada negara dan dunia bulan lepas kerana menguruskan hal tragedi di Grik dengan baik dan juga kisah menarik pelajar-pelajar UPSI antara faktor yang menguatkan lagi keinginan untuk belajar di Universiti ini.

“Saya juga tidak sabar untuk menghadiri Sesi Ikrar Pelajar bagi mendengar ucapan Naib Canselor UPSI berkaitan “Adab dan Akhlak: Cerminan Belia Masa Depan Negara” kata ‘Afif yang pernah duduk di kolej UPSI ketika menyertai program sekolah pada 2019.

“Saya akan terus menyertai Kejohanan Boling Amatur UPSI yang disertai sejak 2018. Saya bertekad mewakili Kolej Aminuddin Baki (KAB) dan juga FPE dalam sukan boling satu hari nanti:” tambah ‘Afif ketika mengakhiri perbualan.

Sementara itu. pelajar baharu Diploma Muzik, Siti Nur Farhana Fazli pula bersyukur dan gembira kerana mendapat tempat belajar di UPSI kerana beliau sangat berminat dengan kandungan kursus diploma selain melihat suasana kondusif yang terdapat di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

“Saya berasa teruja, seronok dan berbangga kerana dapat mendaftar di UPSI” tambah Farhana.

Farhana, selepas pendaftaran

Fazli Mohd Noordin Babjee, ayah kepada Farhana pula merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai tadbir dan seluruh warga kerja KAB yang menguruskan pendaftaran ini dengan teratur dan baik  sekali.

“Saya sangat teruja dengan layanan yang sangat baik staf dan pelajar UPSI dalam membantu memudahkan urusan pendaftaran diploma dan kolej.” tambah Fazli yang datang sekeluarga dari Gelugor, Pulau Pinang.