oleh : Noorheli Ayob
Tanjong Malim, 30 Julai 2025- Program Tadabbur al-Quran MUFIQ Siri 2 yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan mahasiswa, staf universiti serta guru-guru Pendidikan Islam Daerah Muallim.
Program ini merupakan kesinambungan daripada siri pertama dan terus menekankan pendekatan penghayatan al-Quran melalui kaedah tadabbur yang menyentuh jiwa.
Siri kali ini menampilkan penceramah jemputan iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Nazir Mohammed Khalid, Pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) berkaitan dengan STEM-Q yang menceritakan berkaitan antara Sains dan Al-Quran, yang menyampaikan pengisian bertemakan “Keajaiban Sains dalam al-Quran”.



Penceramah membawakan perspektif yang menyentuh gabungan antara ilmu wahyu dan sains moden, sekali gus membuka minda para peserta tentang kebesaran Allah yang terbukti melalui fakta-fakta saintifik yang telah lama disebut dalam al-Quran.
Antara topik yang dikupas termasuk penciptaan alam semesta, kejadian manusia, lapisan atmosfera, dan kitaran air — yang semuanya terkandung dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu.
Penceramah juga menekankan bagaimana ayat-ayat al-Quran bukan sahaja relevan sebagai panduan rohani, tetapi juga sebagai dorongan untuk umat Islam meneroka ilmu sains dan teknologi.


Sesi ini turut diselitkan dengan tayangan multimedia serta diskusi interaktif, yang menjadikan suasana lebih hidup dan mudah difahami oleh para peserta.
Para hadirin meluahkan rasa kagum dan syukur atas kebesaran Allah yang tersingkap melalui gabungan ilmu al-Quran dan sains.
Para Peserta juga turut diterangkan berkaitan pengenalan asas Quran MUFIQ yang disampaikan oleh Mej Jen (B) Dato’ Haji Nawawi bin Daud, Pengarah Institut Personaliti Quran (IPEQ) serta rumusan keseluruhan Program pada hari ini.


Semoga Program bermanfaat seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi menjiwai kalamullah dalam aspek kehidupan seharian.
Pusat Islam UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dalam usaha melahirkan insan yang seimbang dari sudut rohani dan intelektual, selari dengan tuntutan al-Quran.
