Oleh: Prof Madya Dr Rohaidah Masri & ChM. Dr. Mohamad Idris Saidin

Tanjong Malim Bengkel Intensif Penerbitan FSM Berbantukan Kecerdasan Buatan (AI) Siri 2 – Publication Bootcamp 2025@FSM anjuran Unit Penerbitan 4P Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung pada 12 Ogos 2025 bertempat di Bilik Seminar, FSM.

Bengkel ini yang merupakan kesinambungan kepada bengkel pertama yang telah diadakan pada 30 Jun hingga 2 Julai 2025 bertujuan bukan sahaja untuk menyediakan platform intensif untuk penyelidik, malah dapat menjadi medium penting dalam memperkasakan penerbitan artikel dalam jurnal berimpak tinggi oleh penyelidik UPSI melalui penerokaan pendekatan baharu menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia penerbitan. Bengkel intensif selama satu hari ini menghimpunkan seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada tenaga akademik dan pelajar pascasiswazah Fakulti Sains dan Matematik.

Sesi perasmian oleh Prof. Dr. Suriani

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, yang menegaskan bahawa dalam era penyelidikan masa kini, penerbitan berkualiti bukan sahaja menjadi ukuran prestasi akademik, malah menjadi kunci kepada peningkatan visibility dan pembinaan jaringan kolaborasi di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau menekankan bahawa untuk mencapai impak tersebut, setiap penulis perlu memiliki strategi penulisan yang mantap agar artikel yang diterbitkan relevan dengan perkembangan semasa, menarik minat komuniti akademik global, dan berpotensi tinggi untuk dirujuk.

“Selaras dengan perubahan landskap penerbitan global, AI kini bukan lagi sekadar alat tambahan, tetapi menjadi satu keperluan untuk membantu penyelidik menghasilkan manuskrip yang berkualiti, berimpak tinggi, dan menepati piawaian jurnal terkemuka. Bengkel ini merupakan platform strategik yang menggabungkan bimbingan mentor berpengalaman dengan teknologi terkini, sekali gus memperkukuh kemahiran peserta dalam menghasilkan artikel yang lebih tersusun, tepat dan berdaya saing,” ujar Prof. Dr. Suriani.

“Saya yakin pendekatan ini tidak hanya memberi impak kepada peningkatan bilangan penerbitan, tetapi turut merangkumi peningkatan kualiti, keyakinan, kefahaman mendalam terhadap proses penerbitan, serta membuka peluang kolaborasi penyelidikan yang lebih luas,” tambah beliau.

Prof. Madya Dr. Hafizul Fahri Hanafi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam sesi bengkel

Prof. Madya Dr. Hafizul Fahri Hanafi dari Fakulti Komputeran Dan Meta-Teknologi UPSI selaku penceramah jemputan memulakan bengkel dengan pengenalan kepada kajian bibliometrik, diikuti penerangan tentang proses menghasilkan penerbitan artikel bibliometrik sekurang-kurangnya berindeks Scopus dengan berbantukan kecerdasan buatan (AI).

Antara komponen utama yang dibincangkan termasuk menganalisis data bibliometrik dengan lebih pantas dan tepat, mengoptimumkan struktur serta gaya penulisan, menjana cadangan tajuk, abstrak, dan kata kunci secara efisien, serta menyemak koherensi dan keselarasan keseluruhan manuskrip. Sesi diteruskan dengan interaksi aktif bersama peserta yang memberi tumpuan kepada penulisan dan pemurnian kandungan artikel. Pendekatan ini membolehkan bimbingan diberikan secara dekat dan bersasar, sekali gus memastikan peserta memahami dengan jelas format dan kehendak penulisan tersebut.

Sesi ‘hands on’ bersama peserta bengkel

Bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan FSM dalam memperkukuh pengetahuan serta kemahiran penulisan ilmiah warga FSM. Dengan penguasaan teknik penulisan yang lebih strategik dan penggunaan AI secara berkesan, peserta diyakini mampu menghasilkan artikel yang lebih kompetitif, berimpak tinggi, serta berpotensi menarik kerjasama penyelidikan global, seterusnya memperkukuh kedudukan UPSI sebagai institusi rujukan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.