Oleh: Dr Ebby Waqqash Mohamad Chan

Tanjong Malim, 26 Julai 2025 – Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Malaysian Aquatic Rescue Association (MAQRA), AquaPutra dan Pusat Sukan UPSI telah menganjurkan Hari Pencegahan Lemas Sedunia 2025 (World Drowning Prevention Day 2025) di Arena Sukan UPSI.

Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Nur Haziyanti Mohamad Khalid, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, mewakili Dekan FSSK.

Beliau dalam ucapan perasmiannya menekankan pentingnya kesedaran keselamatan air dan pengetahuan pertolongan cemas, terutamanya dalam menangani insiden lemas yang boleh berlaku tanpa diduga.

Acara ini menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga UPSI, penduduk daerah Muallim, serta peserta dari luar daerah seperti Kuala Lumpur dan institusi pendidikan lain termasuk Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TARUMT).

Antara pengisian utama ialah bengkel asas renang, latihan pertolongan cemas untuk mangsa lemas, dan pameran interaktif melibatkan pempamer seperti Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institut Sukan Negara (ISN).

Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat tentang langkah pencegahan lemas, penggunaan peralatan keselamatan air, serta teknik menyelamat yang betul.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai sesi simulasi kecemasan dan cabaran keselamatan air yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada MAQRA dan AquaPutra.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen UPSI dalam memainkan peranan aktif mendidik masyarakat tentang keselamatan air, selari dengan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 25 Julai sebagai Hari Pencegahan Lemas Sedunia.