Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri
15 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh persediaan menghadapi Kurikulum Persekolahan 2027 dengan memastikan pengajian di universiti sentiasa seiring dengan perkembangan semasa di sekolah.
Selaras dengan peranan UPSI sebagai institusi yang melahirkan majoriti graduan bergelar guru, enam orang pensyarahnya, iaitu Dr. Zuraini Jamil @ Osman dari Pusat Pembangunan Akademik bersama Dr. Seah Siok Peh (Ketua Jabatan), Dr. Anis Norma Mohamad Jaafar, Puan Fairuz ’Ain binti Harun, Dr. Norly Jamil dan Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi dari Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, telah menyertai Bengkel Kerja Penataran Kurikulum Prasekolah 2026 kepada Jurulatih Utama (Zon Utara) anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung dari 11 hingga 14 Ogos 2025 di Berjaya Penang Hotel, Pulau Pinang.
Penataran ini merupakan sebahagian siri program peringkat kebangsaan yang dimulakan di on Sarawak pada 14 hingga 17 Julai diikuti Zon Selatan pada 21 hingga 24 Julai 2025, Zon Tengah pada 28 hingga 31 Julai dan Zon Timur pada 4 hingga 7 Ogos 2025, sebelum diteruskan ke Zon Utara yang dapat juga disertai pensyarah-pensyarah UPSI.
Penyertaan ini juga adalah lanjutan daripada taklimat mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 yang telah disampaikan oleh Pengarah BPK, Puan Hajah Nooraini Kamaruddin, kepada warga akademik UPSI pada 24 Julai 2025.

Langkah ini memastikan warga akademik UPSI memahami sepenuhnya perubahan kurikulum prasekolah sebagai asas penting pendidikan awal, sekali gus membantu menyesuaikan program pengajian di universiti dengan kehendak dan perkembangan terkini sistem pendidikan negara yang semakin dinamik.
