Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri
TANJONG MALIM, 24 Julai 2025 – Pusat Pembangunan Akademik (PPA) dengan kerjasama Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Jerayawara Bagi Kurikulum Persekolahan 2027 Untuk Staf Akademik UPSI di Dewan Konvensyen, Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Sesi yang berlangsung pada 24 Julai ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr Ridzwan Che Rus yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, UPSI.


Jerayawara ini menampilkan Puan Hajah Nooraini binti Kamaruddin, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia, sebagai penceramah utama.
Dalam pembentangannya, beliau menggariskan hala tuju dan perubahan utama Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang merangkumi semua peringkat persekolahan, daripada prasekolah hingga menengah, dengan penekanan kepada pembelajaran yang inklusif, holistik dan berfokuskan kemahiran abad ke-21.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan KP2027 memerlukan kefahaman mendalam dalam kalangan pendidik, termasuk pensyarah universiti yang bertanggungjawab melatih bakal guru.
Keselarasan antara kurikulum di institusi pendidikan tinggi dan sekolah menjadi faktor penting dalam memastikan keberkesanan kurikulum baharu ini.
Sesi ini turut diperkaya dengan segmen soal jawab interaktif, membolehkan para pensyarah bertukar pandangan dan mengemukakan soalan secara langsung kepada Pengarah BPK.
Perbincangan ini memberi peluang kepada warga akademik UPSI untuk memahami dengan lebih jelas peranan mereka dalam mempersiapkan guru masa depan yang mampu melaksanakan pengajaran selaras dengan aspirasi dan standard KP2027.


Jerayawara ini mendapat sambutan positif daripada peserta yang hadir, mencerminkan komitmen UPSI untuk terus menyokong aspirasi pendidikan negara.
Seiring dengan slogan “KP2027 – Kurikulum Kita, Masa Depan Negara”, usaha ini diharap menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan yang lebih relevan, progresif, dan berimpak tinggi.
