Oleh: Nisrina Nabihah Mohd Zurin
Tanjong Malim – Selari dengan hasrat pembinaan jati diri mahasiswa, Kerajaan Negeri Perak melalui Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak telah menganjurkan Program Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 2.0 pada 5 September hingga 7 September 2025.
Karnival ini merupakan siri kedua yang telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah untuk karnival ini buat kali kedua. Karnival ini melibatkan seramai 1000 mahasiswa Anak Perak daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara, politeknik dan pelajar tingkatan enam.
Pelaksanaan karnival ini berjaya membina hubungan silaturahim yang kukuh dan erat dalam kalangan mahasiswa dari pelbagai universiti, politeknik dan pelajar tingkatan enam dengan Kerajaan Negeri Perak melalui pelbagai pengisian aktiviti dan modul yang mana amat menitikberatkan pergaulan dan persekitaran yang positif antara mahasiswa.


Modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK) atau lebih dikenali sebagai ‘Team Building’ yang bersifat kenegaraan telah menyuntik nilai semangat patriotisme dan cinta akan negara Malaysia dalam diri setiap mahasiswa yang bakal memimpin negara kelak.
Seterusnya, aktiviti futsal, bola jaring, sukan rakyat dan ‘explorace’ yang dijalankan di Stadium Arena, UPSI dilaksanakan bertujuan untuk membantu pemantapan mahasiswa yang proaktif serta berbakat dalam pelbagai bidang dan aspek.
Slot bagi Malam Pentas Seni Siswa pula menampilkan persembahan-persembahan kesenian seperti nyanyian, tarian dan sketsa pendek dari para peserta mengikut kumpulan bagi memperlihatkan kreativiti dan bakat dalam diri mahasiswa anak Perak.
Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 2.0 menzahirkan rasa bangga dan teruja melihat ribuan mahasiswa anak Perak dikumpulkan dan diberi pendedahan berkaitan aspirasi dan hala tuju Kerajaan Negeri Perak dalam mencapai Pelan Pembangunan Negeri Perak Sejahtera 2030 melalui modul-modul LDK yang diketengahkan sepanjang program berlangsung.
Tambah beliau lagi, mahasiswa anak Perak perlu menjadi tonggak utama dalam membangunkan negeri sendiri iaitu Negeri Perak ini selari dengan pelan yang telah dirancang.
Turut hadir dalam karnival tersebut ialah Yang Berhormat Encik Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Sains Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Encik Teh Kok Lim serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar.
Karnival yang berjaya dilaksanakan dengan cemerlang ini telah menerima sokongan dan komitmen penuh daripada Sekretariat Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI) UPSI, di bawah kepimpinan dua penasihat utama, iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Profesor Madya Dr. Ariff Mohamad.
Dukungan padu ini telah memainkan peranan penting dalam memastikan penganjuran karnival berjalan lancar, teratur serta mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.
Dalam pada itu, pengarah program Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 2.0, saudari Nur Shahidatul Nasuha Md Alamgir Hossain Hazrat Ali merangkap Timbalan Yang Dipertua Sekretariat Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI) UPSI mengatakan bahawa pelaksanaan karnival siri kedua ini mendapat sambutan yang luar biasa oleh segenap lapisan mahasiswa anak Perak di Institut Pengajian Tinggi seluruh negara, Politeknik dan pelajar Tingkatan Enam.
