Oleh: Arissa Syaralia Ariff Murzali
Tanjong Malim, 13 September 2025 – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengangkat semangat patriotisme ke pentas digital melalui penganjuran program Mahasiswa Merdeka: Menjulang Perpaduan, Menyantuni Bangsa. Program yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 13 September 2025 ini disiarkan secara dalam talian melalui saluran YouTube rasmi KHAR, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan meluas tanpa batas geografi.
Anjuran Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026, program ini bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara, memupuk keharmonian antara masyarakat serta mengukuhkan kefahaman mahasiswa terhadap erti kemerdekaan.
Tiga pertandingan utama dianjurkan iaitu Syair, Sajak, dan Pidato, yang mengangkat tema perpaduan, kemerdekaan dan nasionalisme. Pertandingan ini menjadi wadah bagi mahasiswa mengasah bakat pengucapan awam dan kesenian bahasa sambil menyalurkan mesej cintakan tanah air secara kreatif.


Selain itu, sebuah forum khas turut diadakan, menghimpunkan tiga panel jemputan berwibawa: Abbas Ali bin Iftikhar Hussain, mantan Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, Muhammad Faiz Farhan bin Yusnizam, wakil Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak, dan Muhammad Aqil Danish bin Hasron, duta pelajar Penn State Lion Ambassador Student Alumni Corps, Pennsylvania State University, Amerika Syarikat. Forum ini membincangkan perspektif perpaduan dari sudut pandang tempatan dan antarabangsa, sekali gus membuka minda peserta terhadap cabaran dan strategi membina keharmonian sejagat.

Ucapan ketua felo Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Muhammad Ridhwan bin Sariffin turut menyerikan majlis, dengan penekanan bahawa Mahasiswa Merdeka merupakan satu wadah penting bagi mahasiswa untuk memahami erti sebenar kemerdekaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda. Beliau turut menyeru agar nilai kebersamaan dan kecintaan kepada tanah air terus dipelihara serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, Muhammad Fahmi Ariff bin Ahmad Zulkefley selaku pengarah program menegaskan bahawa penganjuran Mahasiswa Merdekaadalah hasil kerjasama erat antara barisan exco, peserta, dan pihak pengurusan kolej. Beliau berharap agar program ini tidak hanya menjadi acara tahunan, tetapi terus menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk menghayati erti kemerdekaan dan kepelbagaian budaya dalam membina Malaysia yang lebih harmoni.

Dengan jumlah tontonan siaran langsung di YouTube seramai 1942 orang yang terdiri daripada penonton dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat. Mahasiswa Merdeka diharapkan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi mahasiswa yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah memiliki jiwa patriotik serta cakna terhadap isu-isu perpaduan.
Program ini membuktikan bahawa semangat merdeka bukan sekadar disambut dengan laungan dan bendera, tetapi diperkukuh melalui ilmu, seni, dan perbincangan intelektual. Dalam dunia yang semakin kompleks, perpaduan adalah asas kekuatan negara – dan mahasiswa hari ini memikul tanggungjawab untuk memastikan semangat kemerdekaan terus terpelihara demi masa depan bangsa dan tanah air.
