Gerik, 2-5 Oktober 2025 – Program Projek Dokumentari: Jejak Pendidik, Menyemai Harapan anjuran Unit Kediaman Luar Kampus telah berlangsung dengan jayanya dalam usaha mengangkat martabat warga pendidik terhadap pembangunan masyarakat dan pendidikan negara.
Program ini bertujuan mendokumentasikan kisah sebenar perjalanan insan bergelar guru yang berjuang mendidik anak bangsa walau dalam pelbagai cabaran dan kekangan.
Melalui pendekatan dokumentari, projek ini menjadi wadah untuk mengangkat martabat para pendidik yang sering berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan.


Menurut Yang Berhormat Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia Dan Sukan, juga selaku Alumni yang di temubual,dalam dokumentari ini sangat bermanfaat untuk memberikan inspirasi kepada para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI, khususnya bagi pelajar yang menetap di Unit Kediaman Luar Kampus, UKLK, sepanjang tempoh pengajian.
Hasil rakaman akan dijadikan bahan tontonan umum dan rujukan ilmiah agar masyarakat lebih memahami realiti dunia pendidikan di sebalik tabir.
“Projek ini bukan sekadar rakaman visual, tetapi satu usaha menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan guru yang tidak pernah lelah mencurah ilmu dan kasih kepada generasi pelajar,” ujar beliau ketika di temubual semasa sesi penggambaran di Gerik, Perak.


Program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI, yang menyumbang dalam aspek teknikal, penyelidikan serta logistik.
Antara lokasi penggambaran termasuk SK RPS Kemar, SMK Seri Budiman, SK Kenayat, Kolej Vokasional Gerik dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Parit.
Projek Jejak Pendidik, Menyemai Harapan diharap mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menghargai peranan guru serta memberikan inspirasi kepada semua pelajar UPSI yang bakal bergelar Guru.
Ia bukan sekadar kisah tentang profesion perguruan, tetapi kisah tentang harapan, keikhlasan dan perjuangan yang tidak ternilai.
