Oleh: ChM. Dr. Aisyah Mohamad Sharif
Tanjong Malim, 27 Oktober 2025 – Seramai 146 orang murid Tingkatan 5 dan 10 orang guru dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) telah menyertai program “Eduventure: UniExplorer” yang diadakan di Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai suasana pembelajaran dan penyelidikan di institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Selain itu, penganjuran ini juga diharap dapat memupuk minat murid terhadap bidang Sains dan Teknologi serta memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan di peringkat universiti.
Program dimulakan dengan taklimat di Blok 1, aras bawah FSM. Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Dekan FSM UPSI yang mengalu-alukan kehadiran rombongan SEMASHUR serta menyampaikan kata-kata semangat agar para pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang Sains.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa bidang STEM memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan menyeru para pelajar agar memanfaatkan peluang lawatan ini untuk menimba ilmu serta pengalaman baharu.
Selesai ucapan aluan, berlangsung sesi penyampaian penghargaan dan cenderamata antara pihak FSM UPSI dan SEMASHUR sebagai tanda jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi. Majlis turut disusuli dengan sesi bergambar kenangan bersama dekan dan wakil fakulti sebelum para peserta memulakan aktiviti lawatan.
Seterusnya, murid dibahagikan kepada empat kumpulan, Team A, Team B, Team C dan Team D bagi mengikuti aktiviti lawatan secara bergilir ke beberapa lokasi menarik di sekitar fakulti dan Pusat STEM.



Antara lokasi lawatan termasuk Muzium Zoologi, di mana para peserta berpeluang melihat pelbagai spesimen haiwan yang diawet untuk tujuan pembelajaran; Bilik Peralatan Sains yang mempamerkan instrumen penyelidikan canggih seperti XRD dan NMR; serta Bilik Siar Matematik yang menampilkan inovasi bahan bantu belajar Matematik hasil penyelidikan pensyarah dan pelajar UPSI.
Lawatan turut diteruskan ke Bilik Astronomi di mana murid diberi peluang mencerap matahari menggunakan teleskop khas yang disediakan oleh pihak Pusat STEM.

Program berakhir sekitar jam 11.00 pagi dengan suasana ceria dan penuh semangat. Pihak sekolah mengucapkan penghargaan kepada pihak fakulti atas kesudian menerima lawatan ini serta berharap hubungan antara kedua-dua institusi akan terus diperkukuh melalui program seumpamanya pada masa akan datang.
