Delegasi SMPIT Harapan Mulia Palembang bergambar bersama dalam majlis pembukaan.Delegasi SMPIT Harapan Mulia Palembang bergambar bersama dalam majlis pembukaan.

Oleh: Safika Amat

Tanjong Malim, 27 Oktober 2025 – Program Jejak Harmoni: Inspirasi Nusantara anjuran Exco Komuniti dan Jaringan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berlangsung dengan meriah dan penuh semangat serumpun apabila menerima kehadiran delegasi pelajar dan guru daripada SMP Islam Terpadu Harapan Mulia, Palembang, Indonesia.

Program ini dijalankan di beberapa lokasi sekitar UPSI termasuk Kolej Ungku Omar, Pusat Sukan UPSI, Glamping UPSI, dan UPSI Adventure Park.

Lawatan pendidikan ini disertai oleh 60 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar SMPIT Harapan Mulia, diketuai oleh Puan Jayanti Dwi Utari, S.Pd, Pengetua sekolah tersebut, bersama sembilan orang guru pengiring.

Ucapan aluan dan taklimat pengenalan oleh Penolong Pegawai Tadbir KUO.
Ucapan daripada Puan Jayanti Dwi Utari, S.Pd (Kepala Sekolah SMPIT Harapan Mulia Palembang).

Tujuan utama program ini adalah untuk memupuk pertukaran ilmu, budaya dan inspirasi pendidikan serantau, di samping memberi peluang kepada para pelajar dari Palembang untuk mengenali suasana universiti antarabangsa dan sistem pendidikan di UPSI.

Dalam ucapan aluannya, Penolong Pegawai Tadbir Kolej Ungku Omar, En. Muhamad Hafiz Abd Manap, menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati atas kehadiran delegasi dari Indonesia serta menegaskan kepentingan program seperti ini dalam memperkukuh jalinan pendidikan serantau.

“Kehadiran adik-adik dari SMP Islam Terpadu Harapan Mulia bukan sahaja mengeratkan hubungan dua negara serumpun, tetapi turut memperkukuh semangat kesepaduan ilmu dan budaya di bawah payung pendidikan Nusantara. Kami di UPSI amat mengalu-alukan hubungan seperti ini diteruskan dan dikembangkan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Program, Saudara Daniel Haqeemy bin Khairul Faizy, menyatakan bahawa Jejak Harmoni: Inspirasi Nusantara menjadi platform penting bagi mahasiswa UPSI dan pelajar SMPIT Harapan Mulia untuk bertukar pandangan serta membina jaringan serantau yang lebih erat.

“Kami berbangga dapat menjadi tuan rumah kepada rakan serumpun dari Palembang. Program ini bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi turut mengukuhkan semangat kebersamaan dan keindahan budaya Nusantara,” katanya.

Antara peserta program Jejak Harmoni: Inspirasi Nusantara 2025.
Muhamad Hafiz menyampaikan cenderamata kenangan kepada delegasi Palembang.

Sepanjang program, para peserta berpeluang menyertai aktiviti interaktif dan lawatan berpandu, selain beramah mesra dengan mahasiswa UPSI dalam suasana santai namun penuh nilai pendidikan dan kebersamaan.

Kolej Ungku Omar turut merakamkan penghargaan kepada SMPIT Harapan Mulia Palembang atas kepercayaan memilih UPSI dan Kolej Ungku Omar sebagai destinasi lawatan pendidikan antarabangsa. Kolaborasi seperti ini sejajar dengan hasrat universiti memperkukuh jaringan global serta mempromosikan UPSI sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau.Program Jejak Harmoni: Inspirasi Nusantara bukan sekadar lawatan akademik, tetapi simbol persaudaraan dan keharmonian antara Malaysia dan Indonesia, yang terus berakar dalam semangat pendidikan dan kebudayaan Nusantara.