Program Pulara Irama Warisan : Bengkel Lagu TradisionalProgram Pulara Irama Warisan : Bengkel Lagu Tradisional

oleh: Afiq Syafiq

Lumut, 25 Oktober 2025 – Suasana di Dewan Intan, Orient Star Hotel, Lumut dipenuhi dengan alunan melodi tradisional apabila Pusat Kebudayaan UPSI dengan kerjasama Exco Warisan Seni dan Budaya Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) menganjurkan program Irama Warisan: Bengkel Lagu Tradisional.

Bengkel ini telah menghimpunkan 50 orang mahasiswa dan mahasiswi UPSI yang berkongsi minat mendalam terhadap seni dan budaya tempatan.

Program ini juga merupakan sebahagian daripada Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) dimana satu platform berprestij yang meraikan keindahan puisi Melayu dan lagu rakyat.

Program dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar berpengalaman, Boyrazli, seorang pemuzik profesional yang berkongsi ilmu tentang teknik nyanyian lagu rakyat serta penghayatan seni tradisional.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta turut diberi peluang untuk berinteraksi, mencuba teknik vokal tradisional dan mempersembahkan lagu rakyat dengan gaya tersendiri.

Dalam ucapan, Encik Muhamad Hafiz bin Abd Manap, Penolong Pegawai Tadbir Kolej Ungku Omar, menekankan kepentingan bengkel ini sebagai wadah untuk memperkukuh jati diri mahasiswa melalui seni warisan.

“Usaha seperti ini bukan sekadar memperkenalkan keindahan seni lagu rakyat kepada generasi muda, tetapi juga menghidupkan kembali nilai-nilai budaya yang membentuk identiti bangsa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Kebudayaan UPSI atas kesudian memberikan peluang kepada Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar serta mahasiswa UPSI untuk terlibat secara aktif dalam penganjuran program berteraskan seni dan budaya, serta berterima kasih kepada penceramah jemputan, Boyrazli, atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman berharga.

Menurut beliau, penganjuran program seperti ini bukan hanya memupuk minat terhadap seni, tetapi juga membina semangat cinta akan warisan bangsa dalam kalangan pelajar.

Sepanjang bengkel berlangsung, suasana penuh ceria dan harmoni jelas terasa. Peserta bukan sahaja mempelajari teknik nyanyian tradisional, malah berpeluang menonjolkan kreativiti masing-masing apabila ada yang cuba memadukan elemen moden dengan melodi klasik, menjadikan suasana bengkel lebih segar dan interaktif.

Di penghujung program, ramai peserta mengakui pengalaman ini membuka mata mereka terhadap keunikan seni lagu rakyat. Mereka pulang bukan hanya dengan ilmu baharu, tetapi juga dengan semangat baharu untuk terus memartabatkan warisan seni tempatan.

Program Irama Warisan: Bengkel Lagu Tradisional ini membuktikan bahawa seni tradisional masih mampu menarik perhatian generasi muda asalkan diberi ruang, peluang dan pendekatan yang segar.