Oleh: Nor Hayati Aziz & Nurul Ain Omar

Tanjong Malim, 1 November 2025 – Aura keunggulan intelek dan inovasi berteraskan nilai Quranik terserlah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila Pusat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kerajaan Negeri Perak berjaya menganjurkan dua program berprestij, iaitu Pertandingan Misi Pencarian Ikon Ulul Albab (IKON) 7.0 2025 dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA ICE) 3.0 2025, bertempat di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Pertandingan IKON Ulul Albab diadakan bagi mencungkil bakat peserta dalam seni pengucapan awam secara berstruktur dan spontan, selain membentuk generasi khalifah profesional yang berpaksikan nilai ilmu dan akhlak. Program berimpak tinggi ini menghimpunkan bakat muda dan tenaga intelektual dalam satu misi memperkasa nilai Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik, selaras dengan falsafah pendidikan Ulul Albab yang menjadi tunjang kecemerlangan holistik pelajar UPSI.

Pertandingan IKON Ulul Albab diadakan bagi mencungkil bakat peserta dalam seni pengucapan awam secara berstruktur dan spontan, selain membentuk generasi khalifah profesional yang berpaksikan nilai ilmu dan akhlak.

Sebanyak 54 peserta dari kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Sekolah Menengah telah menyertai pertandingan ini. Seramai 10 peserta terbaik bagi setiap kategori mara ke peringkat akhir selepas melalui saringan ketat yang berlangsung dari 22 hingga 29 September dan separuh akhir pada 11 hingga 12 Oktober 2025.

Johan IKON Ulul Albab Peringkat Sekolah Menengah
Peserta Akhir IKON Ulul Albab Peringkat IPT

Muhammad Haziq Danish Azman dari SAM Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang berjaya dinobatkan sebagai Johan kategori Sekolah Menengah, manakala Nur Aleya Sofea Azizulmalik dari Universiti Malaya diumumkan sebagai Juara kategori IPT. Kedua-dua pemenang menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000, sebagai pengiktirafan atas keunggulan mereka mengupas idea dengan hujah bernas dan gaya penyampaian berwibawa.

Sementara itu, UA ICE 3.0 2025 turut mencipta impak luar biasa dengan penyertaan 44 kumpulan yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar IPT dan sekolah menengah dalam dan luar negara. Sek  Phatnawitya Yala telah menghantar 8 penyertaan dalam pelbagai kategori. Pertandingan ini menjadi wadah mempersembahkan hasil inovasi berimpak tinggi yang berpaksikan nilai dan falsafah Ulul Albab, sekaligus menggalakkan budaya penyelidikan, kreativiti dan reka cipta Islamik.

Tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Teknologi Kejuruteraan, Pertanian, Teknologi Makanan, Hospitaliti dan Pelancongan, serta Pengurusan dan Pentadbiran.

Johan UA-ICE Kategori Ahli Akademik

Kemenangan kategori sekolah dimenangi oleh kumpulan SIRAH PEDIA dari SM Imtiaz Yayasan Terengganu Besut, manakala Primary Transition Programme (PTP) dari UPSI muncul sebagai juara kategori IPT. Bagi kategori ahli akademik dan profesional, kemenangan berpihak kepada kumpulan Digivance–Smart M dari Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip, Negeri Sembilan.

Menariknya, Anugerah Khas Inovasi Ulul Albab Antarabangsa dimenangi oleh kumpulan Natural Polymer and Plastics Recycle dari PUI PT Technoplast Universitas Malikussaleh, Indonesia, sekali gus menandakan kejayaan UPSI memperluas jaringan kolaborasi ilmu dan inovasi ke persada antarabangsa.

Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, dengan kehadiran istimewa Tan Sri Idris Jusoh, pengasas Model Ulul Albab Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Khairudin menzahirkan tahniah atas kejayaan UPSI menganjurkan program berskala besar yang bukan sahaja memperkukuh nilai Ulul Albab dalam kalangan pelajar, tetapi juga membuka ruang kepada penglibatan antarabangsa. Beliau menyarankan agar pertandingan seumpama ini diperluas ke peringkat komuniti bagi menggilap bakat masyarakat dalam bidang pengucapan awam, inovasi dan keusahawanan sosial.

Menurut Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, penganjuran IKON dan UA ICE 2025 membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga menjadi platform strategik dalam mencungkil potensi pemimpin masa hadapan (future leader) yang cemerlang akademik, dan turut memiliki kekuatan spiritual, emosi dan kepimpinan berteraskan nilai Quranik. Inilah acuan sebenar insan Ulul Albab yang kita ingin lahirkan di UPSI.

“Program ini menjadi simbol kekuatan ekosistem Ulul Albab yang berteraskan integrasi ilmu, iman dan amal. Kami mahu pelajar bukan sekadar menjadi pemikir hebat, tetapi juga penggerak solusi berasaskan nilai Quranik yang mampu memberi manfaat kepada ummah,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, kejayaan penyertaan antarabangsa dari Indonesia dan Thailand memberi gambaran bahawa nilai dan falsafah Ulul Albab kini semakin diterima di rantau Asia Tenggara dan berpotensi dikembangkan ke peringkat global.

YB Khairudin Abu Hanipah bersama pengasas model Ulul Albab Malaysia, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Pengerusi dan Pemegang Amanah Yayasan Ulul Albab, dan Setiausaha Agung Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) serta Pemenang IKONxICE 2025

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Dr. NorKhalid Salimin menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program ini yang berjaya memperkasa pelajar dalam semangat keilmuan dan daya inovasi.

Beliau menegaskan bahawa UPSI komited menjadikan program berteraskan nilai Ulul Albab sebagai acara tahunan bertaraf global yang mampu mengangkat martabat UPSI sebagai peneraju pendidikan berasaskan intelektual Islamik dan nilai kemanusiaan sejagat.