Oleh: Jamilah Mohd Basir
Putrajaya, 5 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa melalui majlis Pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) bersama OxEd, United Kingdom yang diadakan sempena program MyIDEAS Connect: Kolaborasi Berimpak Tinggi dan Pelancaran Produk – Putrajaya Festival IDEA 2025 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Pertukaran LoI ini dilaksanakan oleh Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) mewakili UPSI, dan Cik Izza Ismail, Penasihat Pendidikan & Kemahiran Serantau, Asia Tenggara bagi pihak Suruhanjaya Tinggi British yang disaksikan oleh barisan pengurusan universiti serta wakil OxEd. Pertukaran LoI ini menandakan komitmen bersama kedua-dua institusi dalam melaksanakan Projek Nuffield Early Language Intervention (NELI).
Projek NELI merupakan sebuah inisiatif antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran bahasa Inggeris di Malaysia, khususnya melalui pelaksanaan penyelidikan dan intervensi di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC).
Projek NELI membuktikan bahawa penyelidikan yang mantap mampu meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak.
Kerjasama ini bukan sahaja membina jambatan pengetahuan antara United Kingdom dan Malaysia, tetapi juga memupuk kepercayaan bahawa setiap anak mempunyai potensi dalam perkembangan bahasa termasuk bahasa Inggeris.
Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum of Understanding (MoU), Memorandum of Agreement (MoA) dan Letter of Intent (LoI) antara pelbagai institusi tempatan dan antarabangsa.
Sebagai pusat pengajian tinggi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menegaskan peranannya sebagai peneraju dalam bidang pendidikan.
Dalam masa yang sama, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) kekal menjadi hub rujukan negara dalam penyelidikan dan pembangunan kanak-kanak berasaskan bukti, khususnya dalam memperkasa ekosistem pendidikan awal yang menyeluruh.
