Oleh: Nur Alia Maisara Mohd Sobri dan Farah Syazwina Hasnan

Kajang, 1 November 2025 – Bagi menangani masalah peningkatan populasi spesies ikan asing yang menjejaskan keseimbangan ekosistem sungai, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program RiverHeart: “From Polluted to Pristine” di Denai Sungai Kebangsaan @ Sungai Langat.

Program anjuran Exco Kesukarelawanan MMKHAR Sidang 2025/2026 ini bertujuan memulihkan ekosistem dan biodiversiti sungai melalui pendekatan intervensi berasaskan komuniti selaras dengan tuntutan elemen Pelan Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia.

Sesi taklimat daripada pihak SPIA kepada kumpulan peserta sebelum memulakan aktiviti penangkapan ikan bandaraya

Program ini menyasarkan penglibatan mahasiswa daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk Kelab Hijau Putra (KEHIJAU), Universiti Putra Malaysia, One Health Students Club (OHSC), Universiti Sains Islam Malaysia serta dibantu oleh Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA).

SPIA yang ditubuhkan pada tahun 2022, aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan asing bagi memulihkan ekosistem perairan tempatan dan telah merekodkan lebih daripada 52 tan hasil tangkapan ikan bandaraya di seluruh Semenanjung Malaysia sejak penubuhannya.

Pelaksanaan program RiverHeart ini memberi tumpuan kepada aktiviti utama iaitu penangkapan serta pelupusan ikan bandaraya dan ikan asing menggunakan kaedah menjala dengan bimbingan wakil SPIA bagi setiap kumpulan peserta.

Inisiatif ini menyokong Matlamat 14 SDG: Kehidupan di Dalam Air yang menekankan kawalan populasi spesies invasif ini sebagai langkah pemeliharaan ekosistem akuatik.

Kumpulan peserta bersama pihak SPIA berjaya menangkap sebanyak lebih 1200 ekor ikan bandaraya dengan jumlah berat keseluruhan sekitar 800 kilogram.

Semua hasil tangkapan ikan asing dikumpul, diukur dan ditimbang bagi tujuan merekod dan menilai jumlah keseluruhan hasil tangkapan setiap kumpulan peserta.

Aktiviti penangkapan ikan bandaraya oleh kumpulan peserta yang dibantu oleh pihak SPIA
Sesi penyerahan sijil penghargaan daripada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada wakil Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA)

Menurut pihak SPIA, hasil tangkapan tersebut akan diagihkan kepada para pekebun di Ipoh, Perak untuk dijadikan baja organik bagi penanaman lebih 4400 pokok di kebun mereka.

Hal yang demikian bukan sahaja membantu mengawal populasi spesies invasif malah turut menyokong amalan lestari dalam sektor pertanian tempatan.

Selain aktiviti penangkapan spesies ikan asing, program ini turut melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan sungai melibatkan pengumpulan sampah pepejal, botol plastik dan bahan buangan lain di sepanjang tebing dan kawasan sekitar sungai.

Menerusi aktiviti ini, para peserta memperoleh pengalaman praktikal dan memupuk kerjasama serta nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Usaha ini sekali gus menzahirkan sokongan terhadap Matlamat 6 SDG: Air Bersih dan Sanitasi serta Matlamat 11 SDG: Bandar dan Masyarakat Mampan.

Pengarah Program, Saudara Syahriz Haiqal Syaiful Rizal berkata program ini merupakan suatu inisiatif meningkatkan kesedaran dan membentuk nilai tanggungjawab generasi muda terhadap kepentingan pemeliharaan sungai demi kelestarian alam sekitar.

Majlis penutupan program disempurnakan dengan perasmian oleh Ketua Jabatan Perikanan Daerah Hulu Langat, Mohamad Haziq bin A. Rahman, yang turut menyatakan sokongan berterusan terhadap inisiatif komuniti seumpama ini yang selaras dengan matlamat SDG negara.

Program ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Daerah Hulu Langat, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hulu Langat (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Sudep Panas Foodpack & Catering, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kolaborasi atas kejayaan melaksanakan program alam sekitar yang berimpak tinggi ini.

Program Riverheart telah mencerminkan komitmen tinggi mahasiswa dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan keseimbangan ekosistem sungai.