Oleh : Mursyliha Farisha Darussamin
Tanjong Malim, 5 November 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) telah menganjurkan program bertajuk “Jejak Lestari: Dari Cerita ke Citra Kejayaan” yang berlangsung dengan penuh inspirasi di Dewan Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini telah menghimpunkan barisan kepimpinan mahasiswa dan mahasiswi kolej kediaman yang terdiri daripada MMKHAR, Rakan Exco dan juga Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman bagi mendalami ilmu pengurusan pasukan, kepimpinan berkesan, dan strategi membina jaringan profesional yang lestari.
Program yang dijalankan ini menampilkan Saudara Abbas Ali bin Iftikhar Hussain selaku penceramah utama. Beliau merupakan mantan Exco Perpaduan dan Integrasi MMKHAR sidang Enigma yang telah memenangi Tokoh Kelestarian Siswa Negara 2025 sempena Anugerah Tokoh Siswa 2025.
Beliau berkongsi pengalaman dan panduan kepimpinan yang berharga serta hasil penglibatannya dalam pelbagai inisiatif kemahasiswaan berimpak tinggi. Program ini juga turut dihadiri oleh Barisan Felo-felo Blok Kediaman 1 hingga 6.
Ucapan perasmian turut disampaikan oleh Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah merangkap Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, merakamkan penghargaan kepada penceramah kerana sudi meluangkan masa beliau untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang berharga kepada semua pemimpin KHAR yang hadir.
Beliau juga berharap bahawa kesemua MMKHAR dapat mencontohi kesungguhan saudara Abbas dalam melaksanakan tugasnya.
Program bermula sekitar jam 8.00 malam dan berakhir pada 11.00 malam dengan sesi fotografi bersama penceramah serta warga MMKHAR.
Sepanjang program ini berlangsung suasana penuh semangat dan interaktif dapat dirasai apabila para pemimpin KHAR terlibat aktif dalam sesi soal jawab dan perkongsian pengalaman mereka.
Dalam perkongsian beliau, Saudara Abbas Ali menekankan tiga komponen utama kepimpinan lestari iaitu Kepimpinan & Pengurusan Pasukan, Impak Program & Penghasilan Idea Bernas, serta Jaringan & Networking Profesional dan sepanjang program ini berlangsung, terdapat 3 slot utama iaitu Kepimpinan melalui Teladan, Strategi Kunci Kejayaan dan Deal or No Deal.
Antara perkongsian yang menarik perhatian para pemimpin yang hadir ialah seorang pemimpin perlulah memperkasakan kemahiran dan ilmu yang mereka miliki agar sesuatu organisasi itu dapat bertahan sehingga ke akhirnya.


Selain itu, intipati yang dikupas oleh saudara Abbas termasuklah seni membina kepercayaan dalam kalangan ahli, strategi komunikasi yang efektif, serta kaedah merancang program berimpak tinggi dan berdaya saing.
Beliau juga turut menekankan kepentingan membina hubungan baik dengan agensi luar bagi memperkukuh imej profesional MMKHAR di peringkat universiti dan nasional.
Menurut salah seorang peserta, program ini bukan sekadar membuka mata terhadap gaya kepimpinan efektif, malah memberi inspirasi untuk terus mencipta program yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Secara keseluruhannya, Jejak Lestari: Dari Cerita ke Citra Kejayaan berjaya mencapai objektifnya dalam melahirkan barisan pemimpin mahasiswa dan mahasiswi yang berwawasan, profesional dan berteraskan nilai kelestarian sejajar dengan aspirasi universiti untuk membentuk graduan holistik dan berdaya saing.
