Pengetua KHAR bergambar bersama peserta Program Kanvas RiasPengetua KHAR bergambar bersama peserta Program Kanvas Rias

oleh : Nur Syafiqah Amni dan Fatin Nabila

TANJONG MALIM, 8 November 2025 – Exco Blok Kediaman 2 Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Program Kanvas Ria: Coretan Angka, Warna Bahagia yang telah mendapat sambutan daripada mahasiswa UPSI.

Program ini bertujuan mengisi masa lapang pelajar dengan aktiviti yang bermanfaat serta mendorong mereka meneroka kreativiti dalam bidang seni. Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah digital oil painting dan diamond beads painting yang memberi peluang kepada peserta bagi mencuba sesuatu yang baharu serta mengasah kemahiran seni halus melalui padanan warna dan ketelitian dalam karya masing-masing. Program ini juga menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan antara pelajar UPSI serta memupuk semangat kerjasama dalam suasana yang santai serta menyeronokkan.

Pengarah Program, Saudari Mursyliha Farisha binti Darussamin menzahirkan rasa syukur dan gembira atas sambutan luar biasa daripada para peserta. Beliau menyatakan bahawa keterlibatan aktif mahasiswa UPSI bukan sahaja menjayakan program malah mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan terhadap inisiatif pembangunan diri dalam kalangan mahasiswa. Justeru itu, beliau juga berharap agar program ini dapat menjadi platform berterusan untuk memupuk minat terhadap seni, membina keyakinan diri dan menyeimbangkan tekanan akademik melalui aktiviti yang sihat dan bermakna.

Ucapan Pengetua KHAR dan Pengarah Program
Ucapan Pengetua KHAR dan Pengarah Program

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua peserta serta ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus bagi memastikan kelancaran program. Beliau menegaskan bahawa aktiviti berasaskan seni seperti ini bukan sekadar hiburan tetapi juga mampu menjadi medium untuk mencungkil sambil mengembangkan bakat mahasiswa. Di samping itu, memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental dan fizikal.

Lawatan mesra daripada Perwakilan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (JPKKUMT)

Program Kanvas Ria juga telah menerima kunjungan mesra daripada Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (JPKKUMT) yang turut sama melihat aktiviti yang dijalankan di blok kediaman bagi tujuan penanda aras untuk organisasi mereka. Saudari Mursyliha juga turut memberikan penerangan ringkas mengenai pelaksanaan program yang akan dijalankan sepanjang sidang 2025/2026. Selain itu, beliau juga menerangkan tentatif program yang dilaksanakan pada hari tersebut.

Program ini diharap dapat menjadi platform untuk mencungkil sambil menggilap bakat seni mahasiswa agar dapat dimanfaatkan pada masa hadapan. Sudah terang lagi bersuluh bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri tetapi juga sebagai sumbangan kepada komuniti kolej. Secara keseluruhannya, objektif penganjuran program Kanvas Ria berjaya dicapai dengan cemerlang melalui usaha memperkukuh keseimbangan emosi serta mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).