Oleh: Nur Nabilah Nazri
Kuala Nerus – Program Future Entrepreneurs In Food Security Convention (FEAST) telah melabuhkan tirai pada 18 November 2025.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menjadikan tema “keterjaminan makanan” sebagai fokus utama bagi membuka ruang kepada pelajar meneroka idea keusahawanan berteraskan Environmental, Social & Governance (ESG).
FEAST 2025 menghimpunkan kira-kira 1,000 usahawan siswa daripada universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta mencatatkan kelahiran 25 syarikat pemula (start-up) berasaskan inovasi makanan lestari.



Penganjuran ini turut merangkumi sesi pitching, pameran inovasi dan rangkaian industri yang memberi pendedahan sebenar mengenai keperluan semasa sektor makanan dan teknologi, sekaligus menghubungkan mahasiswa dengan industri.
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menghantar 1 wakil kumpulan, Syarikat Fruto Luxe Hub, yang terdiri daripada 2 orang pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) di bawah bimbingan Pensyarah FTV, Ts. Dr. Fazhana Ismail bagi menyertai program tersebut dari peringkat awal.
Kumpulan ini menampilkan inovasi pencuci mulut (Guava Glow) berasaskan aiskrim tanpa perisa tiruan yang menggunakan jambu batu sebagai bahan utama dengan menekankan konsep makanan sihat, segar dan mesra pengguna dari hasil sumber tempatan.
Justeru, pasukan UPSI telah berjaya merangkul Anugerah Pembentangan Terbaik dengan membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM 1,000.00.
Majlis Perasmian Penutup FEAST 2025 telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
Menurutnya, penganjuran FEAST berperanan sebagai pemangkin keusahawanan masa hadapan dan wajar diteruskan bagi menyuburkan minat pelajar terhadap inovasi serta penyelesaian berkaitan keterjaminan makanan.



Penyertaan pasukan UPSI dalam FEAST 2025 merupakan sebahagian daripada komitmen universiti memperkukuh budaya keusahawanan dan pemikiran strategik dalam kalangan mahasiswa.
Dalam masa yang sama, UPSI melihat penglibatan dalam FEAST sebagai platform penting dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Usaha pemerkasaan pelajar melalui program seperti ini memberi nilai tambah kepada sahsiah, kemahiran dan keyakinan mereka untuk bergiat dalam bidang inovasi dan keusahawanan.
