Oleh : Khoirun Nisya Ruslan

Semenyih, Selangor – Dalam usaha memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dan memperkasa ekosistem pembangunan kerjaya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI bersama 20 orang Penasihat Kerjaya UPSI telah mengadakan lawatan penanda aras ke Careers Advisory Service, University of Nottingham Malaysia (UNM) pada 7 Julai 2026.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara UPSI dan Excelerate Asia Sdn. Bhd., bertujuan memperkukuh kompetensi penasihat kerjaya serta meneroka amalan terbaik dalam pembangunan kebolehpasaran graduan di institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.

Delegasi UPSI telah disambut oleh Alicia Ch’ng, Head of Careers Advisory Service, yang menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum berkongsi struktur, fungsi serta hala tuju Careers Advisory Service dalam menyokong pembangunan kerjaya pelajar secara menyeluruh.

Sepanjang lawatan, delegasi telah mengikuti beberapa sesi perkongsian ilmu yang memberi fokus kepada strategi pembangunan kebolehpasaran graduan bermula daripada peringkat pengajian sehingga pelajar melangkah ke alam pekerjaan. Antara sesi utama ialah “From Curriculum to Career: Embedding Employability Across the Student Journey” yang disampaikan oleh Dr. Jessica Price, Associate Dean of Teaching & Learning, Faculty of Science and Engineering (FOSE). Sesi tersebut mengetengahkan bagaimana elemen kebolehpasaran diterapkan secara sistematik dalam kurikulum, penilaian autentik, pembelajaran berasaskan pengalaman serta pembangunan profesional pelajar secara berterusan.

Delegasi turut didedahkan kepada pelaksanaan Student Continual Professional Development Scheme (sCPD) yang menggalakkan pembangunan kompetensi pelajar melalui refleksi kendiri, pembinaan kemahiran profesional dan penetapan matlamat kerjaya sepanjang tempoh pengajian. Pendekatan ini membuktikan bahawa pembangunan kebolehpasaran merupakan tanggungjawab bersama universiti, melibatkan fakulti, pusat kerjaya, industri dan alumni dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang autentik.

Sesi “Industrial Training at FOSE: From Placement to Learning Outcomes” yang disampaikan oleh Ir. Dr. Chai Ai Bao pula memfokuskan kepada pelaksanaan latihan industri yang bukan sahaja memenuhi keperluan akademik, malah memastikan pelajar memperoleh pengalaman bermakna melalui pemetaan hasil pembelajaran, penilaian berstruktur dan penglibatan aktif pihak industri.

Selain itu, Alicia Ch’ng turut berkongsi pelbagai inisiatif inovatif Careers Advisory Service melalui sesi “Prepare Students for the World of Work”, termasuk pelaksanaan Career Roadmap, Forage Virtual Work Experience, Virtual Nano Industry Experience Project, semakan CV, simulasi temu duga, pembangunan profil LinkedIn serta pelbagai program pembangunan kemahiran yang meningkatkan kesiapsiagaan graduan sebelum memasuki pasaran pekerjaan.

Delegasi turut berpeluang melawat fasiliti Careers Advisory Service bagi melihat sendiri persekitaran pembelajaran, ruang konsultasi kerjaya serta kemudahan yang disediakan bagi menyokong pembangunan pelajar secara holistik.

Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Dr. Siti Shuhaida Shukor, berkata lawatan penanda aras ini telah membuka ruang kepada UPSI untuk meneliti pelbagai amalan terbaik yang boleh diadaptasi bagi memperkukuh ekosistem pembangunan kerjaya di universiti.

“Lawatan ini memberikan pendedahan yang amat bermakna kepada kami, khususnya dalam melihat bagaimana University of Nottingham Malaysia mengintegrasikan kebolehpasaran graduan secara menyeluruh melalui kurikulum, pembangunan profesional pelajar, penglibatan industri dan perkhidmatan kerjaya yang sistematik. EDGE UPSI berharap segala ilmu, pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan inisiatif yang lebih berimpak di UPSI, sekali gus memperkasakan peranan Penasihat Kerjaya dan meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan UPSI selaras dengan aspirasi universiti serta keperluan industri masa kini,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Excelerate Asia Sdn. Bhd., serta University of Nottingham Malaysia atas kerjasama dan kesudian berkongsi kepakaran sepanjang program tersebut. Menurut beliau, jalinan strategik seperti ini merupakan platform penting untuk memperkukuh jaringan profesional, memacu inovasi dalam perkhidmatan kerjaya, serta menyokong usaha melahirkan graduan UPSI yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan global.