Oleh: Nur Nabilah Nazri
Bandar Melaka – Program National Micro Entreprise Pitching Competition (NMEPC) 3.0 2025 telah berlangsung selama 3 hari bermula 22 sehingga 24 November 2025.
Program ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalui Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) yang membawa tema Innovate & Automate: The Digital Evolution of Business iaitu mempraktikan kepentingan transformasi digital dalam pembangunan perniagaan mahasiswa.
Pertandingan ini menghimpunkan peserta dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Politeknik, Kolej Komuniti dan Government-Link Universities (GLU) seluruh Malaysia untuk mempersembahkan idea perniagaan yang kreatif, inovatif dan berimpak tinggi.


Terdapat empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu industri seni dan kreatif, teknologi dan inovasi, makanan dan minuman serta perkhidmatan.
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menghantar 2 kumpulan pelajar dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) dan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).
Pasukan UPSI ini menyertai kategori Teknologi dan Inovasi (EvaXpert) serta Makanan dan Minuman (ReveBrew) di bawah bimbingan Dr. Suhazlan bin Suhaimi dan Prof. Madya Dr. Sharul Effendy bin Janudin. Justeru, pasukan ReveBrew telah berjaya meraih Anugerah Saguhati dengan membawa pulang RM 500.00.


Majlis Perasmian Penutup NMEPC 3.0 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Hj. Megat Sany bin Megat Ahmad Supian.
Menurutnya, program NMEPC 3.0 ini bukan sekadar pertandingan tapi satu platform mencungkil daya cipta kreativiti dan inovasi serta keyakinan diri pelajar agar bersedia untuk menjadi usahawan yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara usai tamat pengajian nanti sekaligus memperkukuh budaya keusahawanan di kalangan pelajar IPT.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, YBrs. Puan Fazidah Binti Mustafa.


Melalui program NMEPC 3.0, kebolehan dalam mengaplikasikan teknologi dan inovasi secara strategik dalam perniagaan mampu menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih mampan serta inklusif.
Justeru, usaha ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan dan melahirkan pelajar serta graduan IPT yang berfikiran keusahawanan dan berimpak tinggi, malah turut memperkukuh ekosistem keusahawanan IPT.
Secara tidak langsung, ia menzahirkan peranan sektor pendidikan tinggi sebagai penyumbang signifikan dalam agenda transformasi ekonomi negara.
