Oleh: Nurul Wahida Md. Arbain

Tanjong Malim, 25 November – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan satu sesi perkongsian maklumat secara dalam talian bagi memberi pendedahan kepada graduan mengenai kerjaya tutor gig melalui platform pendidikan MYTUTOR.

Program yang berlangsung pada jam 8.30 malam melalui Google Meet itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif MyTutor, Encik Hafiz Kamaruddin, sebagai penceramah jemputan.

Sesi Perkongsian bersama CEO MYTutor, Encik Mohd Hafiz Kamaruddin.

Sesi tersebut diadakan bagi membuka peluang kepada graduan UPSI untuk menjana pendapatan fleksibel dengan memanfaatkan kemahiran akademik dan latihan pedagogi yang dimiliki.

Pendekatan ini turut selari dengan perkembangan ekonomi gig yang semakin berkembang dalam sektor pendidikan.

Dalam perkongsian tersebut, Encik Hafiz menerangkan secara terperinci mengenai operasi MYTUTOR serta potensi pendapatan yang boleh dicapai oleh tutor berdaftar.

Beliau menjelaskan bahawa platform itu bukan sahaja menyediakan ruang kepada graduan untuk mengajar, malah menawarkan peluang kepada mereka untuk berkembang sebagai usahawan mikro dalam bidang tuisyen.

Menurutnya, graduan UPSI mempunyai kelebihan kompetitif kerana mereka telah mendapat latihan khusus dalam bidang pendidikan.

“Kami amat berbesar hati dapat berkongsi dengan graduan UPSI. MyTutor adalah jambatan terbaik untuk graduan, yang sememangnya terlatih dalam bidang pendidikan, untuk terus menyumbang kepada masyarakat sambil menjana pendapatan yang lumayan.

“Kami bukan sahaja mencari tutor, tetapi juga menawarkan peluang untuk menjadi usahawan mikro dalam bidang tuisyen,” ujar Encik Hafiz.

Perkongsian beliau merangkumi topik seperti trend semasa pasaran tuisyen, kelebihan kerjaya tutor gig, kriteria pemilihan tutor oleh MYTUTOR serta langkah mudah untuk mendaftar sebagai tutor.

Graduan turut digalakkan untuk merebut peluang ini bagi menjana pendapatan mengikut jadual sendiri, mengekalkan serta memperkukuh kemahiran mengajar, dan membina rekod pengalaman profesional yang diiktiraf industri.

Sesi Soal Jawab bersama CEO MyTutor

Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor, menjelaskan bahawa inisiatif MyTutor membuka ruang kepada graduan UPSI yang baru menamatkan pengajian untuk memperoleh sumber pendapatan tambahan sementara menunggu peluang pekerjaan tetap, termasuk panggilan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan lain-lain peluang kerjaya semasa.

Beliau menambah bahawa kerjasama strategik ini bukan sahaja membantu graduan menjana pendapatan, tetapi turut memperkukuhkan kemahiran mengajar yang telah dipelajari sepanjang empat tahun pengajian di UPSI.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan EDGE UPSI dalam memperkukuh kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) serta menyokong pembangunan keusahawanan mikro dalam kalangan alumni.

EDGE turut menegaskan bahawa kerjasama strategik dengan pihak industri dan platform gig akan diteruskan bagi memastikan graduan UPSI kekal kompetitif dan bersedia menghadapi keperluan pasaran kerja masa hadapan.