Oleh Puan Nora Liza Abdul Kadir

Tanjong Malim – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui penganjuran program berimpak tinggi yang menepati keperluan semasa industri.

Program Skill Up, Stand Out: Fast Track to Employability Siri 2 memberi fokus kepada pemantapan kemahiran menjawab soalan temuduga sebagai persediaan penting sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Program ini telah berlangsung pada 22 Disember 2025, bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam, secara dalam talian melalui Google Meet, dan disertai oleh 45 orang pelajar serta graduan UPSI.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha EDGE UPSI untuk menyediakan platform pembelajaran praktikal yang meningkatkan keyakinan dan kebolehan graduan menghadapi cabaran dunia kerja.

Program ini menampilkan Dr Afiqah Ab Rahman, Academic Skills Advisor dari University of Birmingham, sebagai penceramah jemputan.

Sepanjang sesi perkongsian, beliau telah berkongsi pelbagai input penting berkaitan persediaan menghadiri temuduga kerja, termasuk keperluan untuk calon memahami latar belakang jawatan yang dipohon serta maklumat mengenai majikan.

Selain itu, Dr Afiqah turut menghuraikan kaedah menjawab soalan temuduga dengan berkesan, di samping berkongsi “dos and don’ts” yang perlu diberi perhatian oleh calon semasa menghadiri temuduga.

Perkongsian ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta tentang sikap, komunikasi dan strategi yang boleh meningkatkan keyakinan serta peluang untuk berjaya dalam sesi temuduga.

Beliau juga memberikan pandangan dan nasihat yang amat bermanfaat kepada pelajar dan graduan UPSI yang berminat untuk menyambung pengajian atau membina kerjaya di luar negara.

Antara saranan yang dikemukakan ialah keperluan untuk aktif mencari dan memanfaatkan tawaran biasiswa yang sedia ada.

Di samping itu, beliau turut menyuntik semangat kepada para peserta dengan menegaskan bahawa peluang untuk belajar dan bekerja di luar negara sentiasa terbuka, asalkan individu tersebut bijak mengenal pasti dan merebut peluang yang ada.

Secara keseluruhannya, program Skill Up, Stand Out: Fast Track to Employability Siri 2 berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memberikan nilai tambah kepada peserta dalam mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan yang semakin kompetitif.

Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan EDGE UPSI dalam menyokong pembangunan kerjaya pelajar dan graduan, selaras dengan aspirasi institusi untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat nasional dan global.