oleh Puan Nora Liza Abdul Kadir

TANJONG MALIM – Bagi memperkasa kebolehpasaran graduan UPSI, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menganjurkan Program Career Launchpad: Siri Jelajah MYFUTUREJOBS@IPT PERAK 2025 secara dalam talian pada 23 Oktober 2025 (Khamis).

Sesi yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 100 peserta, terdiri daripada pelajar tahun akhir dan graduan UPSI yang berminat memperkukuh kemahiran diri dan persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Program ini menampilkan Nurul Sufia Mohd Zaki, Eksekutif Bakat (Talent Executive) dari PERKESO, sebagai penceramah jemputan.

Beliau berkongsi maklumat penting berkaitan Pengenalan PERKESO dan Pasaran Buruh Semasa, Panduan Mengisi Portal MYFutureJobs, serta penerangan mendalam tentang penulisan resume dan cara menduduki temuduga dengan berkesan.

Dalam slot Penulisan Resume, Nurul Sufia menekankan kepentingan menyusun maklumat secara padat dan profesional.

Beliau menerangkan bahawa resume yang baik perlu menonjolkan kekuatan calon dari aspek kemahiran, pengalaman serta pencapaian yang relevan dengan jawatan dipohon.

Peserta turut diberi tip tentang penggunaan kata kerja tindakan (action verbs), format penulisan yang kemas, serta kesilapan lazim yang perlu dielakkan seperti maklumat peribadi berlebihan atau objektif kerjaya yang terlalu umum.

Sesi diteruskan dengan perkongsian tentang persediaan menghadapi temuduga, di mana beliau menasihatkan pelajar agar membuat kajian awal tentang syarikat dan bidang kerja yang diceburi.

Antara tip penting yang dikongsikan ialah cara memperkenalkan diri dengan yakin, menjawab soalan menggunakan teknik STAR (Situation, Task, Action, Result), menjaga etika berpakaian dan komunikasi bukan lisan (body language).

Beliau turut mengingatkan bahawa sikap positif dan keyakinan diri merupakan antara faktor utama yang dinilai oleh panel penemuduga.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada penggunaan portal MYFutureJobs yang menyediakan pelbagai maklumat pasaran buruh, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan di seluruh Malaysia.

Fungsi padanan kerja automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut membantu pencari kerja mengenal pasti jawatan bersesuaian mengikut profil dan kemahiran masing-masing.

Puan Nurul Sufia turut memperkenalkan MYFutureJobs Galaxy, versi inovatif berasaskan teknologi maya 3D yang menawarkan pengalaman lebih interaktif.

Melalui platform ini, pengguna boleh mencipta profil dan avatar digital, meneroka pameran kerjaya maya (virtual job fair), serta menjelajahi pelbagai industri dalam suasana imersif.

Menariknya, MYFutureJobs Galaxy bukan sekadar platform pencarian kerja, malah turut membuka peluang kepada pelajar untuk mengetahui dan memohon tempat bagi latihan industri (internship) serta peluang penempatan di bawah inisiatif MySTEP (Malaysia Short-Term Employment Programme).

Melalui kemudahan ini, pelajar bukan sahaja dapat merancang kerjaya dengan lebih awal, malah dapat mengasah kemahiran sebenar sebelum melangkah ke pasaran kerja.

Antara kelebihan utama MYFutureJobs dan MYFutureJobs Galaxy termasuk:

  1. Akses kepada ribuan peluang pekerjaan dan latihan industri terkini di seluruh negara.

  2. Padanan kerja automatik berasaskan AI mengikut kemahiran dan minat pengguna.

  3. Maklumat dan peluang MySTEP bagi latihan serta pekerjaan jangka pendek.

  4. Platform interaktif dan mesra pengguna untuk berhubung terus dengan majikan.

Melalui penganjuran program ini, EDGE UPSI terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu graduan meningkatkan kebolehpasaran diri serta memperkukuh jaringan strategik bersama agensi luar seperti PERKESO.

Diharapkan pendedahan kepada platform MYFutureJobs dan MYFutureJobs Galaxy akan mendorong pelajar UPSI menjadi pencari kerja yang lebih bersedia, berkeyakinan dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan semasa.