Oleh: Dr. Nor Asimah binti Zakaria
Tanjong Malim, 29 November 2025– Warisan budaya merupakan asas penting dalam pembentukan jati diri sesebuah masyarakat. Warisan tidak ketara seperti kemahiran, adat dan amalan tradisional perlu dipelihara serta dipindahkan secara sistematik agar tidak lenyap ditelan arus pemodenan. Dalam konteks negeri Perak, busana tradisional istana khususnya tengkolok atau tanjak, bukan sekadar pelengkap pakaian, malah melambangkan martabat, hierarki sosial serta kedaulatan institusi Kesultanan.
Setiap ikatan tengkolok Perak mempunyai kaedah, nama dan pantang larang tersendiri, menjadikannya seni halus yang sarat dengan nilai simbolik. Antara variasi ikatan terkenal ialah “Ayam Patah Kepak” dan “Dendam Tak Sudah”, yang menggambarkan kepahlawanan, keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Melayu. Tengkolok turut mempunyai potensi besar sebagai warisan seni untuk dikembangkan dalam bidang pendidikan dan pelancongan budaya.
Namun, kesinambungan warisan hanya dapat dipelihara sekiranya ilmu tersebut terus diamalkan dan diperturunkan antara generasi. Perkembangan semasa menunjukkan proses pemindahan ilmu semakin berkurangan, sekali gus menuntut usaha pemuliharaan yang lebih tersusun dan holistik.
Bagi melestarikan warisan serta memperkukuh keupayaan ekonomi komuniti khususnya golongan belia, program pemindahan ilmu pemakaian busana tradisional dan ikatan tengkolok telah dilaksanakan melalui dana Geran Knowledge Transfer Programme (KTP).


Program ini berlangsung dalam dua fasa: Fasa 1 diadakan selama tiga hari pada 23 hingga 25 Oktober 2025 sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA II) di Dataran Maritim, Lumut, Perak; manakala Fasa 2 berlangsung pada 29 November 2025 di Zamoza Design, Pusat Latihan Kemahiran Jahitan. Inisiatif ini diperkenalkan bagi mempromosikan serta mengembalikan apresiasi terhadap warisan budaya Perak yang semakin dilupakan generasi muda.
Program ini memfokuskan belia sebagai kumpulan sasaran kerana mereka berperanan besar dalam meneruskan kelestarian warisan budaya negeri serta berpotensi menjana pendapatan melalui penghasilan busana tradisional. Belia yang terlibat terdiri daripada masyarakat setempat dan pengunjung yang berminat memahami busana tradisional serta mempelajari seni ikatan tengkolok. Setiap peserta turut diberikan kit jahitan bagi memudahkan sesi pembelajaran.




Seramai enam fasilitator terdiri daripada tenaga pengajar dan mahasiswa Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer serta Jabatan Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) terlibat dalam melaksanakan sesi pemindahan ilmu. Para fasilitator turut menjalankan temu bual serta mendalami praktik pemakaian busana tradisional dan ikatan tengkolok bersama penggiat warisan negeri Perak dengan bimbingan penyelidik program.
Pendedahan sebegini bukan sahaja meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa seperti kepimpinan dan empati, malah memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan ilmu dalam konteks sebenar. Bagi peserta, program ini memperkukuh penguasaan kemahiran pemakaian busana tradisional dan ikatan tengkolok, sekali gus memastikan warisan budaya ini kekal relevan serta terus dihargai oleh generasi masa kini dan yang akan datang.
