Oleh : Muhammad Airul Idham bin Baharin
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmennya terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui pelaksanaan serentak dua program berimpak tinggi, iaitu Kempen Mini Pack & Protect dan Program Compost-IT: From Waste to Worth pada 26 November 2025, bertempat di Pusat Pendidikan Hijau, Kolej Za’Ba.


Program Compost-IT melibatkan penyertaan lebih 30 orang pelajar pemula, menampilkan Prof. Dr. Che Zalina, Ketua Projek PPH, sebagai penceramah jemputan. Program ini memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai kaedah penyediaan baja komposit menggunakan sisa makanan dari kafeteria, sekali gus mengukuhkan kefahaman mereka tentang pengurusan sisa organik dan ekonomi kitar semula.
Kempen Mini Pack & Protect, yang dijalankan selari dengan Dapur Kasih Bitara, menekankan usaha mengurangkan plastik sekali guna dan mempromosikan penggunaan bekas sendiri, seiring dengan budaya kampus yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.


UPSI menegaskan peranannya sebagai institusi pendidikan utama dalam melahirkan guru yang cakna kelestarian, manakala program ini merupakan kesinambungan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dalam memupuk kesedaran hijau dalam kalangan pelajar.
Sekalung penghargaan kepada kepimpinan projek pelajar SOCCOM Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) melalui inisiatif Eco Campus 360, Pengurusan Kolej Za’Ba, Sukarelawan Dapur Kasih Bitara, Pengusaha Kafeteria KUO dan KHAR serta 30 orang pegawai dan kakitangan HEP UNIMAS yang turut membantu ketika sesi lawatan penanda aras ke UPSI atas komitmen mendorong budaya lestari di kampus.


Program gabungan ini diakhiri dengan seruan agar seluruh warga UPSI terus menyokong agenda SDG, mempraktikkan gaya hidup lestari dan menjadi ejen perubahan untuk masa depan bumi yang lebih hijau.
