Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM, 29 November 2025 — Seminar Pemikiran P. Ramlee menekankan karya seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, bukan sekadar hiburan, tetapi medium pendidikan yang sarat dengan nilai amanah, integriti dan pembentukan jati diri bangsa.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB), Datuk Seri Hj Ahmad Hj Burak berkata, karya P. Ramlee mengandungi falsafah pemikiran mendalam yang masih relevan dan wajar dijadikan rujukan dalam mendepani cabaran moral serta perubahan sosial masa kini.
Menurut beliau, P. Ramlee merupakan seorang pendidik masyarakat melalui seni, dengan setiap naskhah yang dihasilkan menampilkan kritikan sosial tajam, mesej kemanusiaan serta pengajaran moral yang disampaikan secara santai namun berkesan.
“Dialog seperti dalam filem Anak Bapak jelas memperlihatkan penekanan terhadap amanah dan integriti. Pesanan bahawa sekali hilang kepercayaan, ia sukar dipulihkan, membuktikan bagaimana seni digunakan untuk memupuk nilai murni dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan seminar berkenaan di Dewan Konvensyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Beliau berkata karya-karya seperti Bujang Lapok, Anakku Sazali, Antara Dua Darjat dan Tiga Abdul turut mengetengahkan aspek disiplin, tanggungjawab, hormat-menghormati, kepentingan ilmu serta hubungan keluarga, selaras dengan konsep pendidikan holistik merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.


Seminar itu dianjurkan oleh Program Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Persatuan Alumni Suluh Budiman, Persatuan Persuratan Melayu dan Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang.
Majlis turut menampilkan Wacana Pemikiran P. Ramlee yang menghimpunkan tiga panel UPSI, iaitu Prof. Madya Dr. Ariff Mohammad, Dr. Azam Sulong dan Dr. Siti Fariza Mohamad Isa. Sesi tersebut dimoderatorkan oleh Dr. Hasrina Baharum, yang mengupas aspek pemikiran pendidikan, kritikan sosial dan falsafah kemanusiaan dalam karya seniman agung itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, P. Ramlee tidak harus dilihat semata-mata sebagai penghibur, tetapi sebagai pemikir dan pendidik masyarakat melalui seni yang merakamkan falsafah, nilai dan kritikan sosial dengan begitu halus sehingga terus menjadi rujukan sepanjang zaman.
“Sebagai seseorang yang telah lama mengikuti warisan beliau, saya sering menegaskan bahawa P. Ramlee bukan sahaja menghiburkan, tetapi membentuk sikap, adab dan pemikiran masyarakat Melayu.


Beliau berkata nilai pendidikan dan kemanusiaan dalam karya P. Ramlee bersifat abadi, malah penting untuk difahami oleh generasi muda sebagai asas pembinaan jati diri bangsa.
“Seminar seperti ini sangat penting untuk menghimpunkan sarjana dan penggiat seni serta menyemai kesedaran bahawa seni adalah pendidikan. Saya berharap kajian terhadap pemikiran P. Ramlee terus diperluas di UPSI dan institusi lain, serta dijadikan bahan pengajaran dalam kursus seni, bahasa dan pendidikan,” katanya.

